KEDUDUKAN masjid di tepi jalan memudahkan orang ramai berhenti menunaikan ibadat.
KEDUDUKAN masjid di tepi jalan memudahkan orang ramai berhenti menunaikan ibadat.
Rosman Shamsudin


Masjid Batak Rabit yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan Teluk Intan, Perak, ada nilai warisan tersendiri yang ramai masih tidak mengetahuinya.

Di sebalik pembinaan masjid berusia lebih 100 tahun itu, tersingkap nilai sejarah yang perlu dihayati generasi masa kini.

Kedudukannya di tepi jalan Teluk Intan-Manjung memudahkan orang yang lalu-lalang singgah menunaikan ibadat. Sebaik menyusuri tempat parkir, jelas kelihatan jarak masjid itu dengan Sungai Perak hanya kira-kira 30 meter.

Malah, di tebing sungai itu terdapat tempat hentian perahu nelayan dan pengunjung boleh melihatnya dari pondok di situ yang dibina untuk jemaah masjid beriadah sambil menikmati permandangan Sungai Perak.

Di sebelah kanan masjid pula terdapat kubur lama yang masih terpelihara, dipercayai makam keturunan Laksamana Raja Mahkota. Ia dijaga dengan rapi oleh pengurusan masjid bagi memastikannya kekal.

Melewati di bahagian dalam masjid pula kelihatan banyak tiang masih kemas dan kukuh melambangkan kehebatan ‘arkitek’ zaman dahulu membuat binaan konkrit sehingga kekal utuh sehingga kini.

Menariknya, menara di kiri masjid mempunyai tangga dan tingkap dibina di dalam menara itu bagi memudahkan penjaga masjid atau dikenali tok siak naik ke situ.

Masjid ini dibina mengikut struktur Nusantara yang menggabungkan seni bina Melayu dan Eropah. Struktur bangunan dan bumbung jelas menggunakan ciri atap tumpang seperti yang terdapat pada Masjid Demak, Indonesia.

Ciri binaan menaranya pula dipercayai satu-satunya yang terdapat di negara ini. Ini kerana dari segi struktur dan penggunaan bahan binaan langsung tiada persamaan dengan bentuk menara pada masjid lama di Perak yang kebanyakannya menggunakan kayu dan berbentuk empat segi seperti di Masjid Kampung Pulau Besar dan Masjid Sayong.

Menara itu juga berbeza dengan menara konkrit di Melaka yang lebih mirip kepada bentuk pagoda yang dipengaruhi budaya Cina.

Masjid Batak Rabit juga dipercayai pernah menjadi masjid utama di Perak berikutan kedudukannya di pinggir sungai dan kawasan itu pernah menjadi pusat pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad II (1874-1877).

Pada zaman penjajahan Inggeris, bandar Teluk Intan menjadi antara pintu utama kegiatan ekonomi dan pusat pemerintahan. Bijih timah dari daerah Kinta dibawa menyusuri Sungai Perak ke Teluk Intan untuk dieksport.

Pada masa sama, landasan kereta api dibina sehingga ke Teluk Intan dan Batak Rabit berada di antara laluan Teluk Intan ke Bagan Datoh sebagai jalan keluar ke hilir Sungai Perak.

Difahamkan, menara Masjid Batak Rabit bukan sekadar berperanan sebagai rumah api, malah mungkin berfungsi sebagai isyarat bagi menandakan pedagang sudah berada berhampiran bandar Teluk Intan.

Walaupun fungsi menara itu masih belum dapat dibuktikan secara formal, yang pasti ia masih utuh sehingga kini dan masjid itu masih digunakan penduduk kampung untuk beribadat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:33 AM