MEMBERI penjelasan mengenai pengambilan ubat asas.
MEMBERI penjelasan mengenai pengambilan ubat asas.
BERHENTI memasak untuk mengalas perut.
BERHENTI memasak untuk mengalas perut.
BERSIAP untuk melaksanakan misi.
BERSIAP untuk melaksanakan misi.
RUMAH tradisi masyarakat Orang Asli tinggal di kawasan terpencil.
RUMAH tradisi masyarakat Orang Asli tinggal di kawasan terpencil.
Nurul Husna Mahmud


Selalunya kepuasan kembara pendakian gunung apabila dapat berada di puncak mahupun ‘check point’ tertentu, namun berbeza buat sekumpulan pendaki bergerak atas tiket amal.

Objektif berlainan berbanding aktiviti pendakian biasa lebih bertujuan riadah mahupun menjaga kesihatan, Misi Amal Kelangsungan Hidup ke Kampung Agik Pos Kemar oleh Rescue Adventure Team (RAT) didorong amanah penyumbang terhadap penduduk kampung Orang Asli terpencil.

Menurut Ketua Misi Mohd Aszahari Hassim, kepuasan dinikmati dalam aktiviti pasti berbeza kerana ia menyambung silaturahim antara pendaki dengan masyarakat Orang Asli di pedalaman.

“Aktiviti amal mendaki sambil menghantar bantuan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu bukan saja menjalin kerjasama erat kalangan pendaki bersama kumpulan pacuan empat roda malah menjadi titik persaudaraan dengan masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh dalam hutan.

“Kami bermula di Pos Balar menerusi penghantaran kit kelangsungan hidup seperti mata kail, cangkul, benih serta keperluan dapur selain ubat-ubatan yang sangat diperlukan oleh mereka.

“Bagi misi dua hari satu malam boleh dikatakan amat mencabar kerana kekangan waktu, kami masih meneruskan ekspedisi pemberian sumbangan sama hasil kutipan kenalan serta mereka yang menyumbang atas tujuan kebajikan.

“Tugas pendaki amal bukan mudah kerana mereka bukan saja perlu membawa barang sendiri tetapi amanah penyumbang. Memastikan barang selamat sampai ke tangan penerima itulah tugas kami pendaki,” katanya.

Tanpa pemandu arah Orang Asli

Pendaki Hafizuddin Haron mengakui peranan selaku pemegang amanah menyampaikan setiap barangan selamat ke tangan penerima menjadi pendorong kepada kumpulannya.

“Getirnya perjalanan kali ini kami mendaki tanpa bantuan masyarakat Orang Asli. Hanya berpandukan GPS dan ingatan pengalaman pendakian lalu ketika Misi Transtitiwangsa membantu kami menjejaki jalan ke Kampung Agik.

“Meskipun ada bantuan GPS, jalan ditunjuk kadang kala tidak menepati keupayaan pendaki melepasi antaranya jalan sangat curam, selain laluan denai terlalu tebal dan trek licin.

“Atas sebab itu beberapa cubaan kami untuk membuka laluan baru gagal dan terpaksa berpatah melalui jalan asal. Atas sebab itu sepatutnya kami boleh melepasi perjalanan ke tapak rehat pertama dari dua jam berlarutan kepada empat jam.

“Ada antara kami cedera terpaksa berhenti di Sungai Y menjadikan lokasi itu sebagai kem untuk bermalam sebelum sebahagian pendaki meneruskan perjalanan ke kampung Agik keesokan pagi,” katanya.

Antara trek mencabar kata Hafizuddin ialah laluan di Bukit Bongok.

“Perjalanan ke kampung ini paling sukar ialah Bukit Bongok. Bukit itu agak curam kerana trek mendaki mencanak 60 hingga 70 darjah.

“Tetapi memikirkan betapa barang kami bawa ini penting selain amanah penyumbang itu mendorong kami terus mendaki meskipun berdepan pelbagai laluan sukar,” katanya.

Banyak kampung perlu dijelajah

Pendaki, Fazlinie Abd Rahim berkata, meskipun berdepan saat sukar kerana cedera ketika perjalanan pulang dari kampung Agik, dia tidak serik malah menjadikan pengalaman itu sebagai perangsang meneruskan aktiviti kebajikan.

“Kaki saya kejang dan saya menangis sepanjang mendaki Bukit Bongok. Namun apabila diberi perangsang ketua misi, saya heret agar dapat keluar hutan sebelum gelap.

“Biarpun terpaksa melalui rasa penat dan sakit, saya tidak menyesal menyertai pendakian ini. Memang saya sudah pasang niat untuk sampai ke kampung dan atas sebab itu saya persiapkan mental mesti sampai ke destinasi akhir iaitu kampung Agik.

“Saya sebenarnya ingin bertemu dengan seorang kanak-kanak Orang Asli pernah kami bantu dalam misi sebelum ini Transtitiwangsa.

“Ketika itu kanak-kanak berkenaan cedera di kaki dan didukung oleh nenek untuk dibawa ke klinik terdekat Pos Kemar. Ketika itu lukanya kena jangkitan dan berulat. Kami bantu untuk cuci luka kanak-kanak berkenaan dan mengiringi mereka ke Pos Kemar.

“Kanak-kanak itu tinggal di Kampung Agik bersama keluarganya dan menjadi penguat semangat untuk saya terus mendaki sehingga sampai.

“Rasa puas apabila perjalanan selama sembilan jam dapat saya harungi untuk bertemu dengannya.

“Lebih bermakna apabila kanak-kanak itu teruja menerima mainan selain bantuan lain. Ia sangat bermakna bagi saya dalam mana-mana ekspedisi pernah disertai sebelum ini,” katanya.

Selain itu perjalanan kali ini turut bermakna apabila dia dan rakan lain turut menemui beberapa kampung baru. Harapannya agar peluang akan datang dapat mengikuti misi ke kampung terpencil lain pula untuk menghulurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:05 AM