JONISTON Bangkuai (kiri) meneliti buku ‘East Kinabalu: A Guide To The Eastern Part of Mount Kinabalu’ yang disampaikan penulisnya, Dr Ravi Mandalam (kanan) di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Lembaga Pelancongan Sabah
JONISTON Bangkuai (kiri) meneliti buku ‘East Kinabalu: A Guide To The Eastern Part of Mount Kinabalu’ yang disampaikan penulisnya, Dr Ravi Mandalam (kanan) di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Lembaga Pelancongan Sabah
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ketika masih ramai orang termasuk penduduk tempatan belum pernah menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu, seorang doktor berasal dari India sudah 56 kali menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Dr Ravi Mandalam, seorang pakar radiologi yang menetap di Sabah sejak 28 tahun lalu mengakui beliau sangat mengagumi Gunung Kinabalu dan tidak pernah bosan untuk berulang-alik ke puncaknya walaupun sudah berkali-kali menjejakkan kaki di sana.

Bukan setakat itu, beliau bersama dua rakannya turut menghasilkan sebuah buku mengenai gunung berketinggian 4,095 meter itu yang berjudul 'East Kinabalu: A Guide To The Eastern Part of Mount Kinabalu' (Kinabalu Timur: Panduan Ke Bahagian Timur Gunung Kinabalu).

"Bagi saya, Gunung Kinabalu adalah permata Sabah. Ia adalah khazanah negeri ini, sebuah syurga botani dan 'hotspot' biodiversiti," katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai di sini, semalam.

Dr Ravi bersama ahli senior Kelab Rotary Datuk Abdullah Sibil menemui Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk menjemputnya menyempurnakan pelepasan pendakian amal seramai 30 ahli Kelab Rotary pada 21 April ini.

Dr Ravi menjadi penyelaras untuk misi pendakian amal itu yang diadakan bagi mengutip dana dan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit polio.

Katanya, kebanyakan peserta pendakian itu adalah pendaki kali pertama dan menjadikan Gunung Kinabalu sebagai tempat terbaik untuk bermula sambil mempromosikan kemesraan Sabah.

Peserta pendakian amal itu yang akan memulakan pendakian pada 22 April ini terdiri daripada ahli Kelab Rotary dari Sabah, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur.

Menariknya, Kelab Rotary membuat keputusan melaksanakan pendakian amal itu selepas membaca mengenai pengalaman Dr Ravi mendaki Gunung Kinabalu yang dicatat dalam bukunya.

Selain untuk misi amal, pendakian itu turut disasar untuk mencipta rekod sebagai 'the highest meeting' (pertemuan tertinggi) di puncak Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Joniston berkata, Gunung Kinabalu adalah destinasi yang ikonik di Sabah dan ramai orang menganjurkan misi pendakian atau pendakian amal ke puncaknya untuk tujuan yang baik.

"Ia juga cara yang terbaik untuk memperkenalkan Sabah dan warisan gunung kita kepada ahli Kelab Rotary yang belum pernah ke sini atau mendaki ke puncaknya.

"Gunung Kinabalu khususnya adalah destinasi popular kepada pendaki antarabangsa dan dengan pembukaan sempadan antarabangsa, kita berharap untuk melihat kebangkitan semula pendaki asing di samping rakyat tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 1:10 PM