Pasukan perubatan Kedah melakukan pemeriksaan di Flet Paya Nahu, Kuala Kedah, berikutan satu keluarga menghidap difteria. - Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Kedah
Pasukan perubatan Kedah melakukan pemeriksaan di Flet Paya Nahu, Kuala Kedah, berikutan satu keluarga menghidap difteria. - Foto Ihsan Jabatan Kesihatan Kedah
BERNAMA

Alor Setar: Kedah mencatat kes penolakan vaksin pelalian tertinggi di negara ini dengan 318 kes dilaporkan pada 2015 berbanding 239 kes pada 2014, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata bagi 2015, Baling merekod kes tertinggi dengan 70 kes diikuti Kulim (41 kes) dan Padang Terap (42 kes).

Katanya kaji selidik mendapati faktor utama penolakan vaksin di negeri ini ialah meragui status halal vaksin (75.8 peratus), amalan homeopathy (18.6 peratus), tidak percaya kepada keberkesanan vaksin (0.9 peratus), kesan sampingan pada bayi (1.5 peratus), masalah sikap (2.5 peratus) dan masalah kewangan (0.6 peratus).

"Sebanyak 99.3 peratus yang menolak penggunaan vaksin adalah Melayu dan selebihnya bukan warganegara," katanya di sini, hari ini.

Selasa lalu, tujuh beradik dari Kuala Muda dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim kerana disyaki dijangkiti difteria.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati empat daripada mereka yang berusia 10 bulan, dua tahun, tiga tahun dan empat tahun tidak diberi suntikan vaksin pelalian difteria.

Akibatnya, seorang daripada mereka iaitu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia kerana difteria.

Norhizan berkata isu meragui status halal vaksin tidak sepatutnya timbul memandangkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sudah bersetuju vaksin imunisasi bukan najis dan tidak mengandungi unsur meragukan dalam kandungan dan hukumnya.

"Oleh itu, saya nasihatkan ibu bapa supaya pastikan anak-anak diberi imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Sabtu lalu, seorang budak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia di Melaka akibat difteria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 10:58 PM