Amin Idris

Dalam peristiwa Hijrah, ketika Nabi Muhammad ditemani Saidina Abu Bakar dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah, mereka sempat bersembunyi di Gua Tsur.

Puak kafir Quraisy ketika itu menjejaki Rasulullah SAW dan Abu Bakar. Setiba mereka di Gua Tsur, Abu Bakar kerisauan kerana bimbang andai mereka ditemui di dalam gua.

Namun ketika itu, Rasulullah memberi motivasi kepada Abu Bakar dengan kata-kata nasihat yang dinukilkan dalam Surah at-Taubah ayat 40:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Rasulullah) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua (sahabat) iaitu Abu Bakar semasa mereka berlindung di gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: ‘Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.’”

Begitu hebat Rasulullah SAW mendidik dan mengajar kita mengenai pergantungan kepada Allah SWT.

Perang Badar

Namun berbeza sedikit keadaannya ketika Perang Badar. Tentera Islam hanya 300 lebih berbanding ribuan tentera Musyrikin. Tatkala tentera Islam dilihat kritikal dan seolah-olah hampir tewas, Rasulullah sujud lama di atas tanah lantas berdoa dan merayu kepada Allah:

“Ya Allah, penuhilah untukku apa yang Kau janjikan kepadaku. Ya Allah, berikan apa yang Kau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau biarkan pasukan Islam ini binasa, tidak ada lagi yang menyembah-Mu di muka bumi ini.” (HR Muslim dan Ahmad)

Adakah Rasulullah kurang yakin kepada Allah?

Persoalannya, kenapa dalam Perang Badar, reaksi Rasulullah tidak seperti dalam peristiwa Hijrah sedangkan Rasulullah di pihak yang benar. Apatah lagi baginda adalah kekasih Allah, maka sudah pasti Allah bersamanya dan tentera Muslimin. Adakah ketika Perang Badar, pergantungan baginda kepada Allah makin berkurangan?

Pakar sejarah mengatakan tidak sekali-kali. Ini adalah kerana peristiwa Hijrah berlaku dengan perancangan yang rapi dan tersusun. Sedangkan Perang Badar berlaku dengan tiba-tiba, di luar jangkaan lalu baginda tidak berkesempatan membuat perancangan dan strategi yang tersusun serta rapi.

Merancang kejayaan

Geng Gen Y adalah kelompok anak muda yang sangat berpotensi untuk berjaya. Namun kejayaan tidak datang bergolek. Ia menuntut perancangan yang rapi. Kejayaan mesti bermula dengan matlamat kemudian disusuli pelan yang strategik. Pesan Saidina Ali, ‘Kejahatan yang terancang akan menewaskan kebenaran yang tidak terancang.’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 7:22 AM