MAMAT dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut. FOTO Faris Zainuldin
MAMAT dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut. FOTO Faris Zainuldin
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ketika mencari kulat sisir ditemui selamat di Kampung Alor Pak Mat, Ulu Sat, di sini, 2 petang tadi.

Mangsa, Mamat Yaacob, 71, ditemui dalam keadaan keletihan di bangsal di dalam kawasan kebun getah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa ditemui oleh seorang penoreh getah sebelum dimaklumkan kepada pihaknya.

Katanya, ketika ditemui Mamat tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keletihan sebelum dihantar ke Hospital Machang (HM).

"Operasi mencari dan menyelamat membabitkan lebih 30 anggota dari pelbagai agensi mula dilancarkan pada 9.30 pagi semalam.

"Usaha membawa mangsa keluar dari kawasan hutan berkenaan mengambil masa 10 minit," katanya.

Harian Metro melaporkan warga emas berkenaan keluar dari rumahnya di Banggol Judah, di sini, pada 9.30 pagi Jumaat lalu untuk mencari kulat sisir.

Ahli keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa sebelum membuat laporan polis hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 6:25 PM