KEADAAN dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Labok - Banggol Judah, dekat Kampung Gendang Lima, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Labok - Banggol Judah, dekat Kampung Gendang Lima, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Pesara polis maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Labok - Banggol Judah, dekat Kampung Gendang Lima, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.50 petang itu, mangsa Mohd Rujudi Awang, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berusia 30 tahun datang dari arah Banggol Judah menuju ke Kota Bharu.

"Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba mangsa yang memandu Toyota Alphard datang dari arah Labok dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan kereta Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu.

"Akibat pertembungan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang datang melakukan pemeriksaan, manakala seorang lagi mangsa tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang dan laporan bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian serta kecederaan yang dialami mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:36 PM