NATASHA bersama Neesa Helena.
NATASHA bersama Neesa Helena.
Oleh Ramlah Zainal


Dia nekad untuk berhijab walaupun ketika namanya berada di puncak populariti ketika itu. Menurut Aktres Harapan, Festival Filem Malaysia ke-20 (filem Chermin), Natasha Hudson, dia tidak pernah menyesal dengan keputusannya itu.

Bagi pelakon jelita berdarah kacukan dan pemilik nama sebenar, Natasha Liana Hudson, 32, glamor dan populariti bukan fokus utamanya sejak pembabitannya dalam bidang seni lebih sedekad lalu.

"Selepas berhijab, berkahwin dan membina keluarga, banyak perkara berubah dalam sekelip mata. Alhamdulillah, banyak yang saya impikan dalam hidup juga sudah tercapai sekarang.

"Saya juga berasa bahagia dan lebih tenang dengan kehidupan sederhana yang dikecapi ketika ini," katanya.

Akui Natasha, kehadiran dua cahaya mata, Neesa Helena, 6, dan Naeema, setahun lapan bulan juga memberikan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidupnya.

"Saya juga ingin mencuba beberapa perkara lain yang saya tidak dapat lakukan dulu untuk masa depan. Sebagai anak seni, saya sangat mementingkan kepuasan pada diri dan peminat. Populariti itu hanya bonus dalam karier seni," katanya.

Ditanya sama ada dia sudah memperlahankan aktiviti seni, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin ke-26 (filem Lemak Kampung Santan) ini menafikannya.

"Saya tidak pernah membuat kenyataan sudah memperlahankan aktiviti seni atau meninggalkan bidang seni kerana ia sudah sebati dalam diri. Sebenarnya, saya tidak pernah merancang karier seni dan lebih suka mengikut arus.

"Selepas berhijab, saya reda dengan ketentuan Allah SWT dan apa yang sudah tertulis dalam hidup," katanya.

Selepas kelahiran anak kedua dan selepas berhijab hampir tiga tahun, Natasha berkata, dia masih menerima tawaran berlakon.

"Kali terakhir ialah ketika usia kandungan anak kedua mencecah tiga bulan. Lakonan terakhir ialah watak pembantu dalam filem genre komedi Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin yang diterajui aktor popular Shaheizy Sam dan Siti Saleha.

"Saya percaya dengan rezeki dari Allah SWT. Walaupun sudah berhijab, pengarah dan produser di luar sana masih beri kepercayaan pada saya untuk berlakon dalam filem mereka.

"Filem terakhir lakonan saya sebelum berhijab ialah Lemak Kampung Santan yang turut membawa tuah pada saya dengan membawa pulang trofi, baru-baru ini," katanya.

Apapun, kata Natasha keutamaannya tetap pada rumah tangganya dan suami, komposer dan penyanyi hip hop, Mohd Khalid Mohd Kamal atau Carleed Khaza.

"Saya bersyukur kerana suami sentiasa menyokong minat saya dari belakang dan berada di sisi ketika suka serta duka. Kalau ada watak yang sesuai dengan imej hijab dan status, suami tidak menghalang saya berlakon.

"Tetapi akhirnya semua terletak pada diri sendiri," katanya.

Natasha impi watak filem Islamik

Sesuai dengan imej dan penampilan bertudung, Natasha mengakui dia berharap untuk beraksi dalam filem genre Islamik selepas ini.

"Saya menanti watak dalam filem Islamik yang memiliki mesej dan impak yang mendalam kepada masyarakat. Saya tertarik dengan naskhah dan jalan cerita yang mengupas prinsip agama dan syariah," katanya.

Beralih pada perkembangan bisnes pula, kata Natasha, rangkaian fesyen Muslimahnya, Dreamcloud mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama pengikut fesyen hijab.

"Buat masa ini, bisnes fesyen Muslimah saya juga fokus secara 'online' seperti di fashionvalet dan Modvier concept store di Jalan Riong, Bangsar. Media sosial banyak memainkan peranan besar dalam membantu mempromosikan fesyen Muslimah ini.

"Selain menjimatkan kos kerana tidak perlu ada kedai, saya juga mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga. Kadangkala ada juga kami menganjurkan seminar atau expo Islam yang membabitkan pelanggan setia Dreamcloud," katanya.

Perkembangan lain, Natasha kini menuntut di tahun kedua dalam jurusan keagamaan di Arees University.

"Saya memutuskan untuk mendalami agama Islam kerana tidak mahu sekadar berhijrah saja, tetapi tiada perubahan dalam kehidupan. Buat masa ini saya baru selesai pengajian peringkat diploma dan kini menyambung dalam diploma lanjutan pula.

"Universiti ini masih baru di Malaysia dan fokus pada kursus online dan fizikal. Pengasasnya pula dari Syria," katanya.

Pada masa sama, kata Natasha, sejak tiga tahun lalu dia dan suami turut mengisi masa dengan menghadiri konvensyen Islam.

"Ilmu seperti ini tidak boleh dilewatkan dan makin lama saya semakin dahaga untuk mendalami ilmu agama. Saya juga gembira kerana suami belajar sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 6:03 AM