Oleh Ramlah Zainal


Namanya sudah cukup sinonim sebagai pengacara dan penyampai radio Hot FM dalam kalangan peminat di persada hiburan tanah air, sejak dulu.

Namun, bekas pengacara Nona dan pemilik nama sebenar, Farah Fauzana Mohd Fadzil, 35, ini juga berbakat besar sebagai pelakon.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah SH3 The Movie, Jin Notti, Andartu Terlampau....21 hari Mencari Suami dan Pontianak vs Orang Minyak.

Terbaru, Fara beraksi dalam filem genre romantik komedi, Girlfriend Kontrak arahan Virginia Kennedy terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan sudah menjengah pawagam tanah air pada 24 September lalu.

Dalam filem Girlfriend Kontrak, Fara bawa watak antagonis dan bergandingan dengan barisan pelakon iaitu Keith Foo, Bront Palarae, Risteena Munim dan Azad Jasmin. Fara juga belum berhijab ketika terbabit penggambaran filem itu kira-kira dua tahun lalu.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana tertarik dengan wataknya. Saya juga ingin mencuba sesuatu yang baru dalam lakonan.

“Maklumlah, watak antagonis memang karakter kegemaran sejak dulu. Apa yang mencabar, watak itu memerlukan saya banyak bermain dengan ekspresi wajah kerana karakter saya juga wanita yang hipokrit.

“Saya juga bersyukur kerana peminat memberi maklum balas yang sangat positif pada lakonan saya dalam filem itu. Malah, ada peminat yang mengakui mereka benci menonton lakonan saya dalam filem itu,” katanya.

Walaupun sudah berhijab, pemenang kategori Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2014) buat kali kesembilan ini mengakui dia tidak kisah melakonkan karakter antagonis dalam filem selepas ini.

“Sebagai pelakon, setiap watak diserahkan adalah amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Saya juga tidak melihat bila sudah berhijab, saya tidak boleh melakonkan karakter jahat atau hitam dalam lakonan.

“Gara-gara watak antagonis dilakonkan dalam filem Girlfriend Kontrak juga ada produser yang berminat menawarkan saya watak jahat lagi dalam filem,” katanya.

Selain filem, dia turut berlakon dalam drama seperti Renjer dan Gadis Suci. Tidak ketinggalan, Sitkom Fara dan karoot Komedia X musim kedua untuk Astro Warna.

Ditanya mengenai projek teater pula, kata pelakon Mak Dara Nyonya ini, buat masa ini, dia tidak terbabit projek teater baru.

“Saya sudah mencuba berlakon dalam dua projek teater sebelum ini. Bagi saya berlakon teater disiplinnya berbeza dengan lakonan drama dan filem kerana ia membabitkan lontaran vokal.

“Pada masa sama, saya juga sudah tahu setakat mana kemampuan sebenar dalam teater. Mungkin saya juga akan terima tawaran berlakon teater kalau sekadar watak cameo selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fara juga terbabit program cabaran Safi Shayla ke New Zealand pada penghujung tahun ini.

Belum bertemu jodoh

Sebagai personaliti popular, Fara yang pernah digosipkan dengan pemain bola sepak yang juga kapten pasukan Angkatan Tentera Malaysia, Hairuddin Omar, nampaknya tidak dapat mengelak ditanya soal jodoh.

Namun, setiap kali jawapannya sama saja di mana dia menyerahkan soal jodohnya pada ketentuan Allah.

“Memang saya ada ramai kawan, tetapi belum ada yang sesuai untuk dijadikan teman istimewa lagi. Keluarga juga tidak mendesak kerana mereka cukup memahami diri saya.

“Saya juga percaya Allah akan menentukan jodoh yang terbaik untuk masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 12:07 PM