Dr Aminuddin Mansor

Kedatangan Ramadan membawa rahmat dan maghfirah (keampunan) yang tidak terhingga. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah dengan keimanan Islam yang mantap akan terus tawaduk dan bertakwa kepada Allah. Oleh itu, dengan ibadah puasa hadapilah apa juga cabaran dan ujian dalam hidup pada masa kini dan juga akan datang.

Muhasabah diri iaitu merenung kembali apa yang berlaku sepanjang tahun sebelum kedatangan Ramadan dan menginsafi dan melaksanakan ibadah untuk mendapat keredaan Allah. Indahnya hidup bersyariat iaitu manusia itu sebagai hamba-Nya dan kita sebagai hamba-Nya tetap terus beriman kepada Allah.

Oleh itu, dalam menjalani kehidupan di dunia kita digalakkan melakukan muhasabah diri iaitu perbuatan menilai, meninjau, memikir dan merenung dengan mendalam perasaan dan pendirian kita sendiri yang seharusnya menuju ke arah kebaikan diri dan umat Islam sejagat. Ia bertujuan supaya kita dapat membina keyakinan yang mantap dan lebih kukuh pada masa depan.

Jelaslah, muhasabah diri dapat mendekatkan hati kepada Allah SWT dan menyatukan hati umat Islam dalam menghadapi apa juga cabaran dan ujian dalam kehidupan. Melalui niat yang ikhlas umat Islam dapat merenung, melihat, mentafsir dan mengkaji akan kelemahan dan kesilapan kita dalam kehidupan pada masa lalu.

Ketibaan Ramadan, menyeru dan mengajak umat Islam di seluruh pelosok dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadap Allah SWT.

Lantaran itu, dengan melaksanakan ibadah puasa semua golongan Islam, kaya dan miskin, berpangkat dan marhaen, berada dan tidak berada, terpaksa menempuh ujian yang sama. Iaitu dengan berpuasa akan menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih-mengasihi sesama umat Islam.

Inilah yang hendak kita wujudkan dalam kehidupan masyarakat pada masa kini dan juga akan datang. Ibadah puasa mestilah dijadikan amalan dan ibadah yang baik yang dapat diterjemahkan dalam kehidupan kita.

Melalui perasaan kasih sayang akan wujud keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan umat Islam. Justeru, Islam dan keamanan sejagat sangat penting. Kerjasama dan kesatuan dalam kehidupan bermasyarakat adalah menjadi tanggungjawab bersama yang patut dilaksanakan untuk kebajikan bersama.

Kekuatan sesuatu umat itu banyak bergantung kepada kerjasama dan kesatuan yang utuh. Untuk membina umat Islam yang kuat mestilah bermula dengan ibadah solat yang secara jelas bersatu dalam saf yang lurus dan panjang.

Begitulah juga melalui amalan puasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada Allah. Justeru, melalui ibadah puasa akan lahir ketenangan jiwa dan ketakwaan yang kuat dalam kalangan umat Islam. Puasa dalam bulan Ramadan juga mendidik jiwa tabah dan sabar dalam menghadapi apa juga ujian dan cabaran hidup.

Dalam kehidupan di era digital dan dunia tanpa sempadan kita banyak melakukan dosa terutama yang berkaitan dengan fitnah, sumpah seranah dan juga menyebarkan berita yang tidak sahih. Oleh itu, puasa dalam bulan Ramadan mengajak kita bermuhasabah diri, merenung kembali apa yang kita lakukan selama ini.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan mengharap balasan pahala daripada Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Al Bukhari)

Oleh itu, dengan akal yang bijaksana, hati yang teliti, jiwa yang perkasa dan keyakinan yang teguh keimanan akan datang dalam diri bagi menghadapi apa juga cabaran dalam kehidupan masa kini dan akan datang. Orang yang beriman dan bertakwa tidak akan mudah putus asa dan kecewa dalam menghadapi hidup.

Memetik pandangan ilmuwan Islam, Syyed Qutb berkaitan dengan akidah dan kehidupan beliau menyatakan kehidupan manusia adalah singkat. Sekiranya kita membandingkan manusia dengan alam yang luas di mana kita tinggal kini, kita sebenarnya hanyalah satu jasad yang terapung-apung bersendirian di mana riwayat hidup kita cuma merupakan sebahagian kecil daripada kehidupan di akhirat.

Menurutnya lagi, walau bagaimanapun, manusia mampu dan berkeupayaan untuk berhubungan dengan sumber kuasa yang kekal iaitu Allah, dengan merenung dan memahami tentang alam ini serta mengharmonikan diri dengannya.

Lantaran itu, puasa di bulan Ramadan dengan muhasabah diri banyak mendidik hati dan jiwa serta fikiran manusia bagi mendapat tenaga untuk melaksanakan ibadah dan pekerjaan seharian. Kita sebagai manusia boleh belajar daripada pengalaman masa lalu, masa kini dan memanfaatkan keadaan sekarang dan merancang untuk kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.

Penulis pemegang ijazah PhD Persuratan Melayu, UKM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 10:29 AM