SAAT berbuka antara nikmat orang berpuasa. - Gambar hiasan
SAAT berbuka antara nikmat orang berpuasa. - Gambar hiasan
Oleh Yusliza Yakimir


Ramadan hampir menjengah dan ibadah puasa pastinya dinantikan umat Islam seluruh dunia. Bagaimanapun, di negara ini yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama, perbezaan kepercayaan bukan halangan untuk semua berkongsi nikmat Ramadan.

Isu membabitkan agama Islam dan komuniti bukan Islam sebelum ini menjadi isu hangat dalam negara apabila ada sesetengah pihak yang cuba mempersenda Islam menyebabkan agama ini dilihat daripada perspektif negatif.

Justeru, menerusi program ‘Knowing Me, Knowing You’, penganjur melihatnya menerusi sudut pandangan berbeza iaitu daripada mencari perbezaan dan perbalahan, mereka mencari alasan untuk bersatu sempena Ramadan kali ini.

Menurut Jawatankuasa penganjur, Shila Lama, program berkenaan berkonsep santai diselitkan dengan sesi penerangan dan soal jawab berkaitan Islam dengan orang bukan Islam boleh bertanya apa juga soalan kepada pihak penganjur.

Katanya, sesi penerangan itu juga antara keunikan disediakan dalam program yang menyasarkan golongan bukan Islam untuk memahami mengenai puasa Ramadan dan Islam secara tidak langsung.

“Orang bukan Islam sudah pasti memiliki perasaan ingin tahu dan pelbagai persoalan mengenai Islam, apatah lagi kini mereka terdedah dengan pelbagai maklumat di Internet yang faktanya tidak dipastikan kebenarannya.

“Melalui program ini, mereka dapat bertanya dan menerima jawapan secara terus daripada orang Islam, menutup ruang sebarang manipulasi fakta daripada pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, program itu adalah satu medium untuk mendidik orang bukan Islam mengenai Islam melalui sesi soal jawab dan penerangan yang terbuka serta jelas.

Lebih menarik, program dua hari itu juga memberi ruang dan peluang kepada peserta bukan Islam merasai sendiri pengalaman berpuasa dari waktu sahur hingga berbuka puasa bagi memahami konsep berpuasa yang dapat memberi manfaat kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang baru cuba berpuasa tidak dipaksa untuk melakukannya sehingga waktu berbuka sebalik­nya boleh dilakukan mengikut kemampuan mereka sendiri.

“Program ini juga sebagai memberi jawapan terhadap pelbagai persoalan yang masih disuarakan oleh teman bukan Islam yang bimbang orang Islam kelaparan kerana berpuasa.

“Ada yang berkata, ‘tak mati ke tak makan apa-apa dalam sehari?’ Saya katakan kita tidak berpuasa sepanjang hari atau 24 jam, sebaliknya ada masa berbuka dalam sehari. Malah kita juga boleh bersahur, jadi sebenarnya kita tidaklah kelaparan seperti yang disangka sesetengah orang bukan Islam.

“Ada juga yang bertanya, ‘takkan tak makan apa-apa atau minum sedikit?’ Saya katakan tidak, tetapi kami boleh makan apa saja bila berbuka nanti, tiada sekatan terhadap jenis makanan selagi ia halal,” katanya.

Katanya, objektif program itu bagi memberi penjelasan sebenar terhadap amalan berpuasa yang bukanlah amalan yang melaparkan atau beritahu hanya wajib dijalankan umat Islam.

Ini kerana katanya, walaupun tiada kewajipan kepada bangsa lain untuk berpuasa, fakta saintifik menunjukkan puasa baik untuk kesihatan serta pemulihan dan pembersihan dalaman badan.

Dalam program ini, begitu ba­nyak kupasan yang akan diberikan oleh tetamu yang terdiri pakar agama, pakar nutrisi dan sebagainya daripada pelbagai bangsa bagi memberi pemahaman jelas mengenai puasa serta menjawab kemusykilan mengenai apa jua konteks membabitkan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 1:07 PM