MAS Hashim (gambar kecil) meninggal dunia dalam masjid ketika menunggu solat Isyak malam tadi. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MAS Hashim (gambar kecil) meninggal dunia dalam masjid ketika menunggu solat Isyak malam tadi. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia di dalam Masjid Al-Falah, Batu 16, Ayer Tawar, Manjung malam tadi, ketika menunggu azan solat Isyak tamat.

Mas Hashim Mas Mohamed, 72, yang juga pesara guru menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9 malam selepas rebah ketika duduk menunggu waktu menunaikan solat.

Adiknya, Mas Jamalullail, 53, berkata, abangnya tinggal seorang diri selepas kematian isterinya 10 tahun lalu dan baru tiga hari pulang ke kampung dari rumah anaknya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sejak kematian isteri arwah abangnya akan bergilir menetap di rumah anak-anaknya dan Ramadan kali ini arwah ada memberitahu anaknya yang dia teringin berpuasa serta solat Tarawih di kampung.

"Bagaimanapun berita mengenai kematian abang yang dikatakan meninggal dunia ketika melaungkan azan Isyak adalah tidak benar.

"Kami terkilan dengan berita yang menjadi viral memandangkan ia tidak benar dan sebetulnya abang hanya makmum dan tidak melaungkan azan," katanya ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Batu 16, di sini, hari ini.

Gambar arwah yang terbaring dalam masjid sambil diberi rawatan pasukan perubatan mula menjadi viral malam tadi dengan adda yang mengatakan mangsa meninggal dunia ketika mengazankan solat Isyak di Masjid Al-Falah.

Menurut Mas Jamalullail, jenazah abangnya selamat dikebumikan jam 9.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Ayer Tawar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 2:31 PM