KETUA operasi, Nor Azhar Abdullah (kiri)  bertanya sesuatu kepada lelakia yang ditahan. FOTO Rahmat Othman
KETUA operasi, Nor Azhar Abdullah (kiri) bertanya sesuatu kepada lelakia yang ditahan. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga puluh lelaki disyaki penagih dadah ditahan dalam serbuan di kebun kelapa sawit di Kampung Takwa, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Dalam operasi selama tujuh jam bermula 6.30 pagi, kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 17 hingga 64 tahun termasuk seorang penjawat awam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggotaBahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, serbuan dilakukan berikutan maklumat awam berhubung kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas 12 peket kecil disyaki heroin dan satu peket kecil mengandungi ganja yang kesemuanya dianggarkan seberat 15 gram.

"Kita turut menahan seorang lelaki berusia 30-an disyaki tokan di kawasan itu sekitar jam 11 pagi tadi.

"Berikutan itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 4:47 PM