FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menjejaki kawasan yang berisiko menjadi punca virus Japanese Encephalitis (JE).

Pengarah JKN Kedah Dr Othman Warijo berkata, ia berikutan virus itu merebak melalui gigitan nyamuk culex yang boleh membiak di tempat takungan dan kumbahan ladang ternakan babi atau babi hutan.

"Pihak JPV dan Perhilitan ada data dan maklumat mengenai keberadaan haiwan berkenaan. Berdasarkan maklumat berkenaan, operasi bersama boleh dilakukan.

"Virus ini disebarkan oleh nyamuk menyebabkan jangkitan kepada manusia, haiwan ternakan, burung, kelawar, ular dan katak.

"Selepas jangkitan, virus akan menyerang sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang.

"Virus JE tidak berjangkit sesama manusia atau apabila manusia memakan daging babi yang membawa virus berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan JKN Kedah mengisytiharkan wabak Japanese Encephalitis (JE) di Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit itu pada bulan ini.

Kes pertama dilaporkan pada 18 November lalu disusuli kes kedua pada 25 November dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiada rawatan khas untuk JE setakat ini.

"Antibiotik tidak berkesan melawan virus dan tiada ubatan anti-viral ditemui, tumpuan hanya kepada rawatan kurangkan gejala dan rawatan komplikasi sahaja," katanya.

Ketika ditanya mengenai kawasan wabak berkenaan di Kota Setar, Dr Othman berkata, beliau belum dapat berkongsi kawasan terbabit buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 3:46 PM