Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

TIGA lagi kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang selepas ujian makmal yang dijalankan hari ini, menjadikan keseluruhan enam kes dikesan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata, tiga kes baharu itu membabitkan dua di Sungai Bakap, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) manakala satu lagi di Balik Pulau, daerah Barat Daya.

"Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang ujian makmal tiga kes itu positif dan mangsa yang dijangkiti JE terdiri daripada kanak-kanak, namun semua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan umur serta jantina kanak-kanak yang dijangkiti JE itu namun memaklumkan mereka tidak menunjukkan gejala serius.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan semua mereka dijangkiti JE dari ladang ternakan babi terdapat di kawasan mereka kerana nyamuk culex membiak di air kumbahan ternakan serta parit tersumbat yang kotor.

Norlela berkata, sehingga semalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang mengambil sampel dari 90 khinzir di ladang ternakan di SPS dan Barat Daya serta lima babi hutan di daerah SPS, Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Tengah, namun ujian makmal mendapati semuanya negatif JE.

"Menurut JPV Pulau Pinang ujian pada babi biasanya negatif JE, kerana ruang buat JE untuk muncul agak terhad, jadi masih ada kemungkinan ia datang dari babi yang diternak di ladang, tambahan pula kebanyakan JE kes menunjukkan apa-apa simptom," katanya.

Katanya, memandangkan penyakit ini disebarkan melalui gigitan nyamuk culex, kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan 'larvasiding' dan semburan kabus akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan nyamuk dewasa.

Beliau turut menasihatkan pemilik ladang khinzir untuk memastikan ia dalam keadaan bersih dan tiada takungan air, serta pergerakan air parit berjalan lancar bagi mengelak nyamuk jenis culex membiak.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital apabila mengalami demam dan tanda penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi," katanya.

Pada 27 Jun lalu, dua kes JE yang dilaporkan di SPS membabitkan dua kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun, dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), dan mereka dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 11:47 PM