FAYRUZZ Mikhail Abdul Rahman berusia 8 bulan yang mengidap penyakit asma, jantung berlubang dan paru-paru kronik hanya bergantung kepada alat pernafasan yang dipinjamkan oleh pihak Hospital Pulau Pinang. FOTO Muhd Adib
FAYRUZZ Mikhail Abdul Rahman berusia 8 bulan yang mengidap penyakit asma, jantung berlubang dan paru-paru kronik hanya bergantung kepada alat pernafasan yang dipinjamkan oleh pihak Hospital Pulau Pinang. FOTO Muhd Adib
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan menderita paru-paru kronik, jantung berlubang, sawan dan asma kini terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia tiga bulan menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ibunya Nor Hidayu Halim, 27, berkata, anaknya itu dimasukkan ke HBS pada 16 Mac lalu sebelum dipindahkan ke HPP pada 5 Mei lalu.

Menurutnya, anaknya yang menghidap paru-paru kronik, jantung berlubang, sawan dan asma terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan.

“Saya juga perlu memberi perhatian 24 jam ke atasnya kerana bimbang jika terkena sawan dia (Ieman) akan jadi seperti tidak bernyawa apabila jantungnya berhenti berdegup.

“Selain itu jika mesin bantuan pernafasan ini tertanggal selama tiga minit wajah anak saya akan bertukar kebiruan menyebabkan kami terpaksa memberi sepenuh tumpuan menjaganya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Nelayan, Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini, tadi.

Suri rumah itu berkata, buat masa ini HHP meminjamkan mesin bantuan pernafasan kerana dia tidak mampu untuk membelinya.

“Anak saya juga sepatutnya perlu berada di dalam bilik khas dilengkapi penghawa dingin, namun saya dan suami tidak mampu menyediakannya kerana masalah kewangan.

“Buat masa ini anak saya hanya di letakkan di ruang tamu dan kipas perlu dipasang 24 jam tanpa henti,” katanya.

Mereka yang ingin hulur sumbangan boleh hubungi Nor Hidayu ditalian 0174091284.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 1:28 PM