FOTO hiasan
FOTO hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Ejen hartanah berusia 35 tahun dihukum penjara 16 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 30 pertuduhan menipu membabitkan pembelian serta pelaburan rumah lelong dengan kerugian lebih RM380,000, sejak tiga tahun lalu.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Asid Abd Jalil, yang mengaku bersalah bagi semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, bapa kepada empat orang anak hasil perkahwinan dua isteri itu, didakwa dengan curang memperdaya 30 orang individu supaya menyerahkan keseluruhan RM382,117 termasuk melalui akaun bank serta dua keping syiling dan dua rantai emas.

Keseluruhan wang dan barang kemas itu adalah sebagai pembelian serta pelaburan rumah lelong yang ditawarkan tertuduh, yang mana semua mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tahu diperdaya oleh tertuduh.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Johor Bahru antara Mei 2013 hingga 2 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 2:52 PM