SESI latihan Hamlet Machine.
SESI latihan Hamlet Machine.

Peminat teater tempatan berpeluang menonton persembahan berjudul Hamlet Machine arahan Syafiq Ahmad Nordin yang bermula sejak Rabu lalu hingga 5 Jun ini di Revolution Stage Studio, Dataran Utama One Avenue, Petaling Jaya.

Ini adalah satu projek kolaborasi pelajar Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Akademi Seni Warisan Kebangsaan (ASWARA) bertujuan mengeksplorasi karya pasca moden dari Jerman oleh tokoh terkenal iaitu Heiner Muller.

Barisan pelakon yang terbabit menjayakan Hamlet Machine ialah Abi Madyan, Ibrahim Khairulsani, Zera Hariz dan Serra Kamal.

Hamlet Machine memaparkan banyak luahan perasaan penulis itu sendiri terhadap apa yang berlaku pada era beliau di Jerman Timur.

Naskhah ini adalah refleksi kepada Hamlet daripada Shakespeare yang penuh dengan dendam ke atas apa yang berlaku pada diri dan kerajaan Denmark sendiri.

Syafiq berkata, dia cuba membuat satu pementasan berbentuk eksperimen menerusi Hamlet Machine dengan harapan memberitahu masyarakat bahawa setiap manusia perlu belajar daripada kesilapan lalu dan tidak mengulanginya semula.

“Seperti terkandung dalam Hamlet Machine, Heiner Muller merasa amat kecewa dengan masyarakat dunia yang terlalu cepat melupakan daripada apa yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua.

“Kematian manusia terlalu tinggi angkanya, namun ia terus dilupakan seperti tidak ada apa yang berlaku dan Jerman terus mengejar dunia teknologi untuk menjadi sebuah negara maju.

“Karya ini ditulis pada tahun 1977. Skrip pentas ini amat popular di dunia kerana ia antara skrip yang paling banyak dipentaskan. Teater ini bukan berbentuk konvensional seperti teater biasa yang lain, malah ia lebih kepada drama pasca moden,”katanya.

Diterjemah dalam bahasa Melayu

Menurutnya, penonton tempatan kini tampak lebih selesa dengan lambakan teater konvensional seperti di Istana Budaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Saya memilih bergerak secara ‘bawah tanah’ kerana dapat berasakan teater skala kecil ini mampu menambat hati anak muda dengan berbekalkan bajet yang minimum untuk membuat teater dan mempersembahkan kepada umum berkenaan pengajaran dan pemikiran penulis itu sendiri.

“Keunikan naskhah ini, ia hanya mempunyai enam muka surat dalam versi bahasa Jerman, kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Denis Redmond pada 2001 menjadi tujuh muka surat.

“Saya kemudian berbincang dengan seorang pensyarah seni persembahan di Universiti Malaya iaitu Dr Marlenny Denerwan untuk menterjemahkan naskhah ini ke dalam bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh orang kita,”katanya.

Ini adalah pementasan yang kedua selepas dipentaskan di ASWARA pada 30 Mei 2016. Tiket untuk menonton berharga RM15 dan boleh didapati di kaunter lokasi persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 5:27 AM