TERTUDUH dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar kanabis. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
TERTUDUH dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar kanabis. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Kontraktor am dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 14.49 kilogram kanabis, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar menjatuhkan hukuman itu ke atas Dickson Levy Maria George, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, keterangan pihak pembelaan hanya penafian semata-mata dan keterangan tiga saksi pembelaan yang dipanggil didapati tidak membantu tertuduh ketika membela diri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Stesen Bas Larkin, Kompleks Pengangkutan Awam Larkin di sini, 7.45 malam, 9 Mei 2013.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Mohd Firdaus Adnan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan, manakala empat saksi pembelaan dipanggil termasuk tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:38 PM