KENDERAAN kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbalik dan melintang selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan penunggang motosikal maut di Kilometer 14 , Jalan Serian-Kuching. FOTO Ihsan PDRM
KENDERAAN kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbalik dan melintang selepas terbabit kemalangan yang menyebabkan penunggang motosikal maut di Kilometer 14 , Jalan Serian-Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Norsyazwani Nasri


SEORANG maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal ditunggangi melanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 14 , Jalan Serian-Kuching, semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, Bonny Jungkot, 35, yang menunggang motosikal bersama Rio Harrent Patani, 18, merempuh SUV Toyota Prado terbalik dan melintang di tengah jalan raya akibat kemalangan kendiri.

Kejadian itu menyebabkan Bonny yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Rio Harrent cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan mendapati motosikal Yamaha 125z yang ditunggang mangsa bergerak dari arah Serian menuju ke Kuching.

Katanya, sebaik tiba di Kilometer 14, Jalan Serian-Kuching, penunggang motosikal gagal mengelak Toyota Prado yang melintang di tengah jalan raya.

"Toyota Prado dipandu lelaki berusia 26 tahun terbalik dan melintang di tengah jalan raya akibat kemalangan kendiri.

"Penunggang motosikal tidak menyedari kemalangan yang berlaku menyebabkannya melanggar bahagian tengah kenderaan itu.

"Impak kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal maut serta-merta di tempat kejadian," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, mayat penunggang motosikal dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

"Pembonceng motosikal yang cedera turut dirawat di hospital rigan. Pemandu Toyota Prado hanya mengalami cedera ringan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 12:33 PM