FAKRI (tengah) bersama Amar masih belum menerima bayaran tunggakan gaji.
FAKRI (tengah) bersama Amar masih belum menerima bayaran tunggakan gaji.

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain hingga 31 Mei ini.

Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata, bagaimanapun hingga kini pihaknya masih berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji itu sebelum tarikh yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk membayar separuh daripada jumlah keseluruhan gaji yang tertunggak itu.

“KAFA sedang berusaha sedaya upaya untuk selesaikan kes gaji tertunggak ini dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari sumber kewangan.

“Kami tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan rayuan berserta dengan alasan sekiranya tidak dapat menyelesaikan tunggakan gaji pada 31 Mei ini dan kami juga mungkin akan menawarkan jadual pembayaran dengan gaji separuh kepada pemain terbabit,” katanya semalam.

Baru-baru ini KAFA diberi tempoh 90 hari untuk membayar tunggakan gaji pemain dan jika mereka gagal, FMLLP mencadangkan mata liga skuad Pamoqa Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dipotong.

Lebih teruk jika masalah itu berterusan, tindakan disingkirkan ke Liga Perdana dan menggantung pendaftaran KAFA juga boleh diambil tahun depan.

Lima bekas pemain Kelantan Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar Rohidan, Fakri Saarani, Fitri Omar dan Nazri Ahmad masih belum menerima bayaran tunggakan gaji secara berjadual pada 15 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:28 AM