AFANDI (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA semalam.
AFANDI (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA semalam.

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang berunding dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan gaji tertunggak membabitkan bekas pemain pasukan berkenaan.

Timbalan Presiden KAFA dan merangkap Timbalan Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, sehingga kini FAM masih lagi tidak mengeluarkan sebarang keputusan berkaitan isu berkenaan.

“Buat masa ini tidak ada sebarang keputusan sama ada Kelantan diturunkan liga atau disingkirkan daripada Liga Malaysia kerana kedua-dua belah pihak masih dalam proses rundingan bagi menyelesaikan masalah itu.

“KAFA sendiri sedang berusaha melakukan sedaya upaya bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kad Debit-i Visa Bank Islam Kelantan FA “The Red Warriors”, di sini, semalam.

Baru-baru ini KAFA diberi tempoh 90 hari untuk membayar tunggakan gaji pemain dan jika mereka gagal, FMLLP mencadangkan mata liga skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dipotong.

Lebih teruk jika masalah itu berterusan, tindakan disingkirkan ke Liga Perdana dan menggantung pendaftaran KAFA juga boleh diambil tahun depan.

Lima bekas pemain Kelantan itu membabitkan Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar Rohidan, Fakri Saarani, Fitri Omar dan Nazri Ahmad masih belum menerima bayaran tunggakan gaji secara berjadual pada 15 April lalu.

Bagaimanapun KAFA menerusi Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail dipetik sebagai berkata, akan mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada FAM sekiranya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain hingga 31 Mei ini.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk membayar separuh daripada jumlah keseluruhan gaji yang tertunggak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:07 AM