Izan terlantar sakit di rumah kediaman keluarganya di Kovil Hilir, Jalan Sentul. FOTO AHMAD RIADZ
Izan terlantar sakit di rumah kediaman keluarganya di Kovil Hilir, Jalan Sentul. FOTO AHMAD RIADZ
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas pengurus kumpulan Ekamatra, Norizan Mohd atau Izan, kini terlantar di kediaman keluarganya di Kovil Hilir, Jalan Sentul, di sini, akibat kanser paru-paru dan tulang tahap empat.

Anak saudaranya, Fadhlina Md Nor Hashim, 33, berkata, Izan, 50-an, sebelum itu tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius dan dia mula dikesan menghidap penyakit itu sejak lapan bulan lalu.

“Pakcik saya tiba-tiba mengalami masalah susah membuang air kecil dan hilang suara. Dia kemudian mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser.

“Dia seorang yang tidak mudah berputus asa dan cuba melawan penyakitnya dengan menjalani rawatan alternatif. Kini, dia hanya menghabiskan masa di rumah kerana tidak berdaya untuk bergerak. Dia memerlukan katil yang selesa dan beberapa kemudahan lain," katanya.

Izan ialah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Ekamatra dengan menerbitkan album sulung mereka berjudul Satu Tekanan Irama menerusi syarikatnya Izan Production pada 1989.

Ekamatra yang ketika itu dianggotai Rahmat (penyanyi), Shahrul (gitar), Nurul (gitar), Pacai (bass), Eddie (keyboard) dan Rashid (dram) popular dengan lagu-lagu seperti Sentuhan Kecundang, Pusara Di Lebuhraya dan Hanya Satu Persinggahan.

Menurut Fadhlina, mereka juga perlu mengupah jururawat untuk ke rumah bagi memantau keadaan bapa saudaranya itu dari semasa ke semasa serta memandikannya.

Sementara itu, bekas pemain bass Ekamatra, Pacai simpati dengan nasib Izan dan sudah melawatnya Jumaat lalu.

Pacai juga sedang merancang untuk membantu bekas pengurus mereka itu.

“Alhamdulillah ketika melawatnya, Izan memberikan tindak balas positif. Berita mengenai keadaan kesihatannya juga sudah tersebar dalam kalangan penggiat muzik," katanya.

Pacai berkata, dia juga sudah berbincang dengan beberapa pemuzik seangkatan Izan antaranya pemain dram, Zahid Ahmad untuk menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 9:00 PM