Kini lebih selesa mendalami Islam. FOTO MRI
Kini lebih selesa mendalami Islam. FOTO MRI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas pemain dram kumpulan Ekamatra, Mohd Rashib Ibrahim, 51, atau Acid tidak kisah apabila usahanya untuk mengajak golongan muda ke arah kebaikan dipandang serong segelintir pihak.

Acid yang kini dikenali sebagai Ustaz Rashib Rasta membuat keputusan mendalami ajaran Islam kira-kira dua tahun lalu kerana mahu mengubah dirinya menjadi lebih baik.

Acid berkata, selepas berhijrah, dia kerap dipanggil beberapa pihak untuk memberi ceramah motivasi selain berkongsi pengalamannya ketika bergelar artis.

“Kebanyakan pihak yang mengundang memang nak dengar pengalaman saya ketika berada dalam dunia glamour dan dikenali ramai ramai dulu.

"Tak sangka pula ada segelintir pihak tak senang dan memandang lekeh usaha saya. Namun, saya tak ambil peduli dan anggap ia perkara biasa. Tujuan saya dipanggil adalah untuk menarik orang muda mendekati Islam," katanya kepada Harian Metro.

Acid berkata, dia mula mendalami Islam selepas merasakan hatinya kosong dan apa yang dilakukan semuanya serba tak kena.

“Selepas itu saya bersama isteri mula mengikuti kelas pengajian agama daripada seorang yang arif dalam bidang itu iaitu Ustaz Jafry.

"Sebelum ini saya tak pernah berjaya menghabiskan solat Terawih, tetapi saya akhirnya istiqamah dan berjaya menyudahkannya selama sebulan.

"Saya juga buat solat berterusan sehingga dapat merasakan satu kenikmatan berbeza dan seolah-olah dilahirkan sebagai orang baru. Dari situ saya menyedari nikmat yang Allah berikan," katanya.

Acid mengganggotai Ekamatra dari tahun 1988 hingga 1990 dan popular dengan lagu Sentuhan Kecundang, Pusara Di Lebuhraya dan Hanya Satu Persinggahan.

Turut mengganggotai kumpulan rock dari Johor itu ialah Rahmat (penyanyi), Shahrul (gitar), Nurul (gitar), Pacai (bass) dan Eddie (keyboard).

Acid berkata, selepas Ekamatra dibubarkan, dia bermain muzik di kelab malam sebelum meninggalkan bidang muzik pada 1996 untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Dia juga pernah mengusahakan perkhidmatan bas sekolah dan kini bekerja di sebuah syarikat swasta.

Ditanya sama ada pernah berdakwah dengan rakan-rakan artis, Acid berkata, dia ada melakukannya tetapi bukanlah secara drastik.

"Saya tak pernah pandang serong terhadap dunia hiburan dan masih berhubung dengan rakan-rakan artis.

“Dalam masa sama, sedikit demi sedikit saya pelawa mereka ke arah kebaikan. Cara penyampaian saya perlu kena pada tempatnya agar tak menyakitkan hati mereka," kata bapa kepada lima anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 7:57 PM