ANTARA penyokong yang bermalam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos untuk membeli tiket Final Piala FA 2016. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Lebih 1,000 penyokong Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sudah mula beratur sejak 2 petang semalam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bagi mendapatkan tiket final Piala FA.

Kaunter jualan tiket yang akan dibuka 9 pagi ini dengan kira-kira 20,000 tiket ditawarkan, memaksa penyokong setia pasukan Johor DT bermalam di stadium dan ada yang mendirikan khemah dan tidur beralaskan tikar.

Tinjauan Harian Metro di Stadium Larkin awal pagi tadi mendapati anak-anak kecil dan warga emas turut bermalam di perkarangan stadium bagi menemani ibu bapa atau keluarga.

Penyokong yang bakal menjadi orang pertama membeli tiket pagi nanti, Raja Kamarul Raja Azmi, 42, berkata, dia datang ke stadium seawal 2 petang dan lega menjadi orang pertama beratur.

"Apabila tiba petang semalam, saya bersyukur menjadi orang pertama jadi tidak terlalu bimbang untuk beli tiket nanti. Sejak petang semalam, saya tidak berganjak dan akan tidur di sini," katanya yang datang dari Puteri Wangsa di sini.

Sementara itu, suri rumah, Nazariah Mohamad, 43, berkata, dia juga datang kira-kira 2 petang bagi mengambil tempat untuk beratur membeli tiket sebelum pulang semula ke rumah menyediakan kelengkapan untuk bermalam di stadium.

"Selepas sudah memastikan ada tempat, saya minta kawan saya jaga dan saya pulang ke rumah menyediakan makanan untuk bekalan bagi bermalam di sini," katanya.

Nazariah berkata, dia bakal menaiki van bersama ahli Kelab Kereta Harimau Selatan Zon Kulai ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Marshall Stadium Larkin, Iskandar Zulkifli Jumat, berkata, 22 orang marshall ditugaskan untuk menjaga keselamatan penyokong dan lalu lintas sepanjang sesi penjualan tiket, bermula apabila penyokong beratur sejak 2 petang semalam.

"Kita akan menambah jumlah marshall apabila kaunter tiket dibuka bagi mengelakkan berlaku rempuhan atau keadaan tidak terkawal terutamanya apabila pengumuman tiket habis dijual.

"Sejak tahun lalu, sesi penjualan tiket di stadium ini tidak menimbulkan masalah walaupun ada yang sanggup bermalam di stadium sebelum kaunter dibuka," katanya.

Perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini menyaksikan pertembungan antara Johor DT dan PKNS dan akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 3:30 AM