Johor Bahru: Penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kini sudah bersedia untuk ‘menyerang’ Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Tiket yang dijual untuk perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos habis dijual petang semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memperuntukkan masing-masing 40,000 tiket untuk Johor DT dan Pahang manakala 10,000 tiket lagi dijual secara dalam talian oleh badan induk bola sepak negara itu.

Empat kaunter tiket dibuka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sejak 9 pagi, tetapi tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dengan penjualan berlangsung lancar.

“Saya memuji sistem penjualan tiket kali ini. Tersusun dan tiada huru-hara. Sebelum ini pernah berlaku perkara lebih teruk.

“Namun hari ini (semalam), kami sebagai peminat puas hati dan mudah mendapatkan tiket,” kata peminat Harimau Selatan, Rafiei Kansan, 55, selepas membeli tiket di Stadium Tan Sri Hassan Yunos semalam.

Katanya sebagai anak jati Johor, final berkenaan amat ditunggu-tunggu sejak kali terakhir Johor memenanginya pada 1991.

“Memang teruja, sudah lama kami menunggu untuk aksi final. Peluang kedua-dua pasukan di final seimbang, namun saya tetap yakin dengan Johor DT.

“Pesanan saya kepada pemain agar bermain bersungguh-sungguh. Hargailah pengorbanan penyokong yang bersusah payah untuk mendapatkan tiket. Kalah tak apa, asalkan melawan,” katanya.

Sistem penjualan tiket teratur turut dipuji seorang peminat wanita, Nurarmira Mohd Husin yang beratur sejak lewat petang kelmarin.

“Sistem kali ini memang terbaik, tidak seperti dulu yang huru-hara. Saya harap Johor DT akan menang kali ini kerana sudah 23 tahun Johor tidak mendakap Piala Malaysia,” katanya yang berusia 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:03 AM