Kita selalu melihat ang­gota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bergegas ke lokasi kecemasan untuk memadamkan kebakaran atau menyelamatkan mangsa kemalangan.

Operasinya nampak biasa saja. Namun, di sebalik kejadian biasa, pasukan ini juga berdepan misi sukar yang memerlukan kepakaran dan peralatan khas seperti kebakaran hutan dan menyelamat mangsa dengan meng­gunakan pesawat terbang.

Lantaran itu, pihak JBPM turut mempunyai pasukan Multi Skill Team (MUST) ia­itu pasukan berstatus elit.

Tidak semua anggota mampu mencapai kelayakan untuk meng­anggotai skuad berkenaan. Malah, dalam kalangan anggota MUST, hanya yang layak ditugaskan di dalam pesawat.

Mereka perlu menjalani latihan asas selama sebulan dan pelbagai kemahiran perlu dikuasai termasuk ikhtiar hidup serta teknik 'abseiling' dan 'fast roping' atau 'winching' sebelum ditauliahkan menganggotai unit khas ini.

Menurut Jurulatih MUST, PBT Noorhamidi Ali, setiap anggota yang lulus perlu menjalani latihan dari semasa ke semasa.

"Anggota MUST perlu bersiap sedia sepanjang masa. Oleh sebab itu, mereka perlu sentiasa mengikuti kursus untuk memantapkan kemahiran," katanya ketika ditemui pada Kursus Pe­ngukuhan MUST di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, baru-baru ini.

Kursus empat hari itu membabitkan penyertaan 30 anggota MUST dan antara pengisiannya ialah latihan ikhtiar hidup dalam kawasan hutan, pengurusan kecemasan di dalam pesawat dan hutan serta kemahiran membaca peta.

Sehingga kini terdapat 500 anggota MUST di seluruh negara. Mereka dikumpulkan sekiranya berlaku kes yang memerlukan kepakaran sekuad berkenaan.

Ada juga dalam kalangan mereka diserapkan ke dalam skuad khas lain seperti HAZMAT dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA).

Pada waktu lain, mereka tetap menjalani rutin tugas seperti anggota biasa di balai bomba seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:00 AM