SAM berusaha pulang jika ada penggambaran di luar Kuala Lumpur.
SAM berusaha pulang jika ada penggambaran di luar Kuala Lumpur.
Sudirman Mohd Tahir


Belum pun hilang penat bergelar raja sehari, pelakon Shaheizy Sam, 34, akur apabila perlu ke lokasi peng­gambaran filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali.

Penggambaran membabitkan lokasi di Pahang, Kedah, Perlis dan Putrajaya itu memerlukan Sam me­ngorbankan masa bersama dan berjauhan seketika dengan isterinya yang juga pelakon, Syatilla Melvin, 25, atau Tilla.

Sam berkata, sejak berkahwin pada Februari lalu, dia tidak ada banyak masa rehat kerana terikat dengan tuntutan kerja.

“Saya bersyukur apabila isteri sudah memahami kerja saya walaupun ada ketika­nya dia mengeluh. Tetapi, itu bukan masalah besar untuk kami,” katanya.

Bagi Tilla pula, dia memuji sikap Sam yang tidak pernah melupakan tanggung­jawabnya sebagai suami dan ketua keluarga.

Tilla berkata, jika menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur, Sam akan berusaha pulang ke ibu kota bagi meluangkan masa de­ngannya walaupun sehari.

“Sebelum kami berkahwin pun saya sudah dibiasakan dengan cara kerja dan kehidupannya. Jadi selepas kami bergelar suami isteri, ia lebih mudah dan tidak ada apa perlu dijadikan isu.

“Satu sikap Sam ialah walaupun sibuk, dia masih ingat tanggungjawabnya. Jika dia menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur dan ada cuti sehari, dia tetap akan balik,” katanya.

Menurut Tilla, perkara itu memaksa mereka melupakan seketika percutian berbulan madu dan merancang ke Maldives selepas Aidilfitri nanti.

“InsyaAllah sebelum Ramadan ini kami sudah tidak sibuk, jadi masa itu lebih banyak dihabiskan bersama. Dalam masa sama kami boleh fokus perkara lain.

“Saya sudah maklumkan kepada Sam mahu ke Maldives dan dia pun bersetuju,” katanya.

Selain itu, Tilla juga terbabit dengan penggambaran drama Imam Mudaku Romantik selepas selesai menjayakan telefilem Sha & Shah Raya.

“Dari awal lagi Sam tidak pernah menghalang saya untuk berlakon, cuma sebagai isteri perlu tahu batasannya. Dia tidak perlu ingatkan saya, sebaliknya perkara itu lahir secara semula jadi,” katanya.

Bersependapat dengan isterinya, Sam berkata, dia sentiasa menyokong minat isterinya dan tidak sesekali memaksanya untuknya berhenti berlakon.

“Jika saya katakan tak boleh, adalah tak adil untuknya. Cuma, selepas berkahwin ini masing-masing perlu tahu tanggung­jawab.

“Saya tidak pernah menghalangnya untuk terus berlakon kerana tahu itu adalah minatnya. Dalam masa sama, dia boleh membantu menjana pendapatan,” katanya.

Bersedia timang anak

Memandangkan usia perkahwinan mereka masih baru, jadi tidak apa perlu dibimbangkan terutama membabitkan soal cahaya mata.

Namun, Tilla dan Sam sentiasa berusaha ke arah itu di samping berdoa semoga dikurniakan zuriat segera.

“Saya dan suami me­ngikut saja aturan yang ditetapkan Allah SWT. Kami tidak pernah merancang mengenai anak, sebaliknya berserah.

“Jika diberikan dalam masa terdekat, kami terima dan bersyukur. Saya percaya ia adalah rezeki. Lambat atau cepat, ia pasti ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pasangan ini akan muncul dengan pakaian jenama sendiri iaitu SamSyatilla.

Sam berkata, ia membabitkan koleksi baju Melayu, jubah dan kurta bagi lelaki, sementara untuk wanita terdiri ialah baju kurung, jubah dan abaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 5:01 AM