FOTO ihsan Facebook Jiwa Bakti
FOTO ihsan Facebook Jiwa Bakti
Nurul Hidayah Bahaudin


Petra Jaya: Anak jati Sarawak, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 36, bakal menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia sebagai antara penjelajah negara yang terpilih dalam ekspedisi merentasi antartika ke Kutub Utara pada 2017.

Muhammad Irwan yang berasal dari Kuching berkata, ekspedisi itu adalah penyertaan kali keduanya bersama Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B) yang sebelum ini menyaksikan kejayaan penjelajahan ke Greenland.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang ini bukan sahaja untuk mengharumkan nama Malaysia, malah mewakili Sarawak ke persada antarabangsa.

"Justeru, sepanjang tempoh lebih sembilan bulan sebelum ekspedisi itu bermula pada Mac tahun depan, saya akan memberi tumpuan penuh kepada persiapan latihan yang akan dijalankan di Kem Induk Everest, selain latihan di Korea dan Jepun," katanya.

Pengumuman Muhammad Irwan sebagai penjelajah negara ke Kutub Utara pada 2017 dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, sebentar tadi.

Dalam ekspedisi itu, Muhammad Irwan bersama rombongan penjelajah KE7B akan memasuki Kutub Utara melalui Longyearbyen, Svalbard, Norway sebelum menaiki penerbangan khas ke Kutub Utara di Stesen Barneo bagi memulakan perjalanan menggunakan ski di permukaan Lautan Artik.

Setakat ini, hanya Muhammad Irwan secara rasmi diumumkan sebagai antara penjelajah yang bakal menyertai KE7B untuk misi itu. Jumlah keseluruhan penjelajah tidak dimaklumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 12:15 PM