Mohamad Muqharabbin (empat dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Najib  selepas pelancaran Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
Mohamad Muqharabbin (empat dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Najib selepas pelancaran Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu orang muda di negara ini menjadikan pencapaian ekstrem yang digapai ahli Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) sebagai inspirasi kerana dalam kehidupan ini, setiap orang perlu menghadapi pelbagai cabaran.

Menurutnya, setiap rakyat perlu mempunyai kekuatan dan semangat tidak mahu menyerah kalah, malah perlu menggalas tugas serta amanah yang diberikan sebelum berjuang habis-habisan demi mengharumkan nama negara.

“Kejayaan yang dicapai 24 ikon KE7B diharap menjadi sumber inspirasi kepada orang muda dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap melancarkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Kutub Utara 2017 di sini semalam.

Hadir sama Penasihat KE7B yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mohkles dan Presiden KE7B Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.

Beliau mendoakan ekspedisi berkenaan berjaya dan mengharumkan nama negara.

“Saya difahamkan cabaran Kutub Utara lebih mencabar berbanding Kutub Selatan, namun saya percaya semangat juang yang dimiliki tiga penjelajah ini dapat merealisasikan impian berkenaan,” katanya.

Ekspedisi berkenaan akan bermula 4 April depan yang akan disertai Muhammad Muqharabbin, 35, Mohd Irwan Yusoff Abdullah, 37, dan Shahrom Abdullah, 37.

Kumpulan penjelajah berkenaan akan berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April ini dan akan berpangkalan di Longyearbyen, Pulau Svalbard selama seminggu sebelum memulakan ekspedisi pada 13 April.

Penjelajahan itu turut mendapat sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Skuad Muda 1 JPJ Malaysia.

Sementara itu, Qobin berkata, dia bersama dua penjelajah lain sudah menjalani beberapa siri latihan fizikal termasuk aktiviti berjalan kaki sambil menarik tayar kenderaan seberat 50 kilogram (kg) dan pelbagai latihan lain.

Menurutnya, latihan itu penting bagi penyesuaian penjelajahan di Kutub Utara secara berski sambil menarik beban peralatan dan kelengkapan ekspedisi sejauh 111 kilometer (km).

“Antara cabaran yang bakal ditempuh termasuk cuaca sejuk ekstrem dengan suhu boleh mencecah hingga negatif -40 darjah Celsius, tiupan angin sejuk, rekahan ais, lohong ais, permukaan muka bumi yang kasar dan timbunan salji berbonjol.

“Selain itu, ancaman lain termasuk serangan beruang kutub memandangkan ia habitat popular haiwan berkenaan di kawasan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 8:02 AM