MUHAMAD Muqharabbin (tengah), Mohd Irwan (kanan) dan Shahrom  bersedia untuk berlepas ke Station Barneo Kutub Utara di Longyearbyen Svalbard.
MUHAMAD Muqharabbin (tengah), Mohd Irwan (kanan) dan Shahrom bersedia untuk berlepas ke Station Barneo Kutub Utara di Longyearbyen Svalbard.
Abdul Rahim Rahmat

Longyearbyen (Norway): Tiga penjelajah Malaysia dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) kini berada di Stesen Barneo serta bersedia memulakan cabaran merentasi Kutub Utara pada bila-bila masa bergantung kepada keadaan cuaca.

Mereka ialah Muhammad Muqharabbin Mokhtarruddin, 37, Shahrom Abdullah, 37, dan Mohd Irwan Yusof Abdullah, 35, yang berlepas ke sana dari Lapangan Terbang Svalbard jam 5 petang waktu tempatan (jam 11 malam waktu Malaysia) menaiki pesawat Antonov AN-74 mengambil masa penerbangan selama dua jam setengah, kelmarin.

Pada masa sama, sekiranya keadaan cuaca di Stesen Barneo mengizinkan, mereka akan diterbangkan ke titik permulaan menggunakan helikopter bagi memulakan penjelajahan, namun difahamkan suhu di Kutub Utara sangat ekstrem sehingga mencecah negatif 35 hingga 40 darjah Celsius.

Dalam pada itu, Muhammad Muqharabbin berkata, jurupandu dari Polar Explorers North Pole Expedition, Taylor Sweitzer dan Chris Paustian memaklumkan, jika bernasib baik, penjelajahan itu dapat diselesaikan dalam jangka masa lebih pendek atau sebaliknya.

“Ini kerana, kedudukan titik Kutub Utara sentiasa bergerak dan hanyut, manakala jarak penjelajahan sejauh 111 kilometer (km) sekali gus memakan masa selama 11 hari.

“Malah, kami bertiga kini dalam keadaan sihat dan sudah bersedia mental dan fizikal bagi mencapai kejayaan menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia berjaya berski merentasi Kutub Utara,” katanya kepada Metro Ahad.

Berikutan itu, pihaknya memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan serta keselamatan mereka sepanjang menjayakan misi penjelajahan itu.

“Mohon doakan kami selamat pergi dan balik serta mencapai kejayaan mengharumkan nama rakyat Malaysia sebaris dengan negara maju di persada dunia,” katanya.

Rakannya, Sharom Abdullah berkata, kejayaan merentasi Kutub Selatan pada tahun lalu menjadi pendorong semangat untuk mencipta lagi sejarah bagi dirinya dan seluruh rakyat Malaysia dalam menamatkan misi merentasi Kutub Utara kali ini.

Katanya, pengalaman merentasi cabaran Kutub Selatan sejauh 890 kilometer dalam masa 37 hari sedikit sebanyak dapat membantu gandingan rakan penjelajah Kutub Utara bersama Muhammad Muqharabbin dan Mohd Irwan Yusof.

Sementara itu, Penasihat KE7B yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof berkata, beliau berdoa supaya ketiga-tiga penjelajah terbabit dapat mencapai kejayaan dalam misi penjelajahan itu.

Menurutnya, beliau yakin dan percaya dengan latihan dilakukan selama tujuh bulan termasuk mendaki Gunung Kinabalu, berbasikal, berjalan sambil menarik tayar seberat 30 kilogram serta latihan membina fizikal di gim dapat membantu mereka menjayakan misi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:53 AM