NAIB Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed. FOTO Syamsi Suhaimi
NAIB Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengesahkan dua daripada beberapa pendaki yang jatuh gaung ketika mendaki Bukit Kluang, Besut semalam adalah penuntutnya.

Naib Canselornya, Datuk Dr Mortaza Mohamed berkata, kedua-duanya menuntut di Kampus Bachok bagaimanapun tidak alami kecederaan serius.

"Mereka mengikuti pendakian yang bukan program rasmi universiti, sebaliknya dilakukan bersama rakan-rakan.

"Pihak universiti menggalakkan sebarang aktiviti luar kampus seperti mendaki bukit kerana ia sebahagian latihan menguji daya ketahanan diri.

"Namun, dalam masa sama sering mengingatkan penuntut supaya berhati-hati. Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat yang membantu mangsa," katanya dalam sidang media di UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili UMK menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara universiti itu dan Kelantan Biotech Corporation untuk usahasama pengkomersialan produk cuka berasaskan buah-buahan bermusim.

Kira-kira 1 tengah hari semalam, sekumpulan individu berusia 20-an dikatakan terjatuh dalam gaung ketika cuba mengambil gambar di puncak Bukit Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 12:05 PM