Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: The Dairy Farm Group pemilik GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) yang memiliki rangkaian jenama pasar raya besar di Malaysia melaksanakan langkah meminimumkan kos produk jualan menerusi pembelian terus sumber produk tanpa membabitkan orang tengah.

Langkah itu dilaksanakan bagi membantu orang ramai membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan serta dapat mengurangkan kos sara hidup ketika ini yang semakin meningkat.

Pengarah Serantau Makanan bagi Malaysia dan Brunei Kumpulan itu, Datuk Tim Ashdown berkata, penawaran harga jualan yang berpatutan kepada pengguna turut membantu meningkatkan jualannya serta industri peruncitan secara keseluruhan.

Beliau berkata, kesan pelaksanaan pembelian terus sumber tanpa membabitkan orang tengah itu dilihat berjaya dalam tempoh 12 bulan lalu apabila pihaknya mampu mendapatkan harga lebih rendah untuk dijual semula kepada pelanggan yang turut menikmati pengurangan harga pembelian.

“Tahun lalu, industri peruncitan agak mencabar memandangkan terdapat pengenalan cukai baru dan ia adalah satu perubahan besar kepada operasi perniagaan di Malaysia dalam semua industri,” katanya selepas menghadiri majlis pengumuman kerjasama Jason Food Hall dan badan kebajikan, The Lost Food Project di sini, semalam.

Turut hadir, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang menyokong kerja amal kedua-dua belah pihak bagi memberikan makanan dan pelbagai barangan lain kepada beberapa badan kebajikan di Malaysia.

Jason Food Hall, Giant, Cold Storage dan Mercato adalah senarai jenama bernaung di bawah GCH Retail yang mana Jason Food Hall disasarkan kepada pasaran premium dan hanya mempunyai satu cawangan di Bangsar.

Menerusi kerjasama itu, Jason Food Hall menyumbangkan produk makanan yang masih boleh dimakan tetapi menghampiri tempoh luput untuk diberikan kepada pelbagai badan amal menerusi The Lost Food Project.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:02 AM
TUANKU Zara dan Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah diberi penerangan oleh Ashdown (dua dari kanan) mengenai operasi Jasons Food Hall.
TUANKU Zara dan Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah diberi penerangan oleh Ashdown (dua dari kanan) mengenai operasi Jasons Food Hall.