KONTROVERSI Stewart bukan punca ketiadaan Snow White dalam filem kedua Huntsman.
KONTROVERSI Stewart bukan punca ketiadaan Snow White dalam filem kedua Huntsman.
Michelle Gun


Puteri dongeng Snow White tidak akan muncul dalam prekuel The Huntsman: Winter’s War walaupun namanya beberapa kali disebut dalam filem berkenaan.

Kisah Snow White lakonan bintang Twilight, Kristen Stewart pernah diketengahkan dalam filem Snow White and the Huntsman yang ditayangkan pada 2012.

Bagaimanapun, perancangan menghasilkan sekuel digugurkan kerana Stewart dikatakan menjalin hubungan sulit dengan pengarah Rupert Saunders.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan pengarah Winter’s War, Cedric Nicolas-Troyan yang menjelaskan kontroversi Stewart bukan punca ketiadaan Snow White dalam filem kedua Huntsman.

Menurut Troyan, produksi merangka dua projek berbeza berkaitan kisah dongeng itu sewaktu pembikinan filem Snow White and the Huntsman.

“Selalunya produksi akan menyusul dengan beberapa projek apabila menghasilkan sesebuah karya.

“Sewaktu pembikinan filem pertama, satu projek berjudul Snow White and the Huntsman 2 manakala satu lagi fokus kisah Huntsman.

“Filem kedua memang dijangkakan namun diputar belit media sehingga jadi isu,” katanya yang terbabit dalam kesan visual Snow White and the Huntsman.

Walaupun skandal Stewart mengakibatkan keretakan rumah tangga Saunders, Troyan berkata dia tiada masalah jika pelakon itu diminta kembali sebagai Snow White sekiranya terdapat perancangan untuk sekuel baru.

“Kehadiran Stewart pasti bagus untuk filem namun semuanya bergantung kepada jalan cerita.

“Sekuel baru mungkin ada sekiranya penonton ingin mengetahui sambungan Huntsman. Malah, barisan pelakon termasuk saya sendiri sudah bersedia kembali beraksi,” katanya.

Beralih tugas daripada artis kesan visual kepada tanggungjawab lebih besar sebagai pengarah Huntsman, Troyan mahu Winter’s War ada kelebihan sendiri.

“Saya mahu filem ini lebih menonjol tanpa melakukan perubahan besar. Adalah penting memastikan jalan cerita ada kaitan dengan filem pertama.

“Malah, Saunders turut memberi kata-kata nasihat dan sokongan,” katanya.

Menurut Troyan, dia turut terbabit dalam penulisan skrip dan menyuntik beberapa idea bagi menjadikan filem itu lebih menarik.

“Biarpun skrip sudah ditulis sebelum saya dilantik sebagai pengarah, saya berhak beri cadangan.

“Beberapa perubahan dilakukan seperti menyuntik elemen jenaka terutama watak Freya.

“Disebabkan ratu Ravenna turut kembali dalam filem ini, kami mahu Freya berbeza daripada kakaknya,” katanya.

Menyokong kesaksamaan jantina

Bercerita lanjut mengenai Winter’s War, Troyan berkata filem itu bukan sahaja memperjuangkan percintaan tetapi turut mengangkat kisah hidup tiga wanita.

Justeru, pengarah itu berharap produksi Barat akan menerbitkan lebih banyak filem besar bertemakan kewanitaan.

“Sudah ada beberapa filem aksi hebat memberi fokus kepada wanita seperti Terminator dan saya berharap usaha ini diteruskan,” katanya.

Turut membuktikan sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap kesaksamaan jantina dalam industri perfileman, Troyan mengakui wanita memiliki kemampuan yang sama dengan lelaki.

“Masyarakat sering bertanya jantina mana yang lebih kuat atau lemah. Bagi saya, tiada beza kerana lelaki juga boleh melakonkan babak menangis dan wanita tiada masalah menjayakan aksi lasak,” katanya.

Filem The Huntsman: Winter’s War yang akan ditayangkan esok dibintangi Chris Hemsworth, Jessica Chastain, Charlize Theron dan Emily Blunt.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:55 AM