NAJIB dan Ahmad Zahid serta Musa menyaksikan majlis memeterai perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Kerajaan Persekutuan diwakili Zohari (enam kanan), Kerajaan Sabah oleh Sukarti (lima kiri) manakala BHP diwakili Shahelmey (kiri).Turut hadir, Ali Hamsa (kanan). FOTO Bernama
NAJIB dan Ahmad Zahid serta Musa menyaksikan majlis memeterai perjanjian pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Kerajaan Persekutuan diwakili Zohari (enam kanan), Kerajaan Sabah oleh Sukarti (lima kiri) manakala BHP diwakili Shahelmey (kiri).Turut hadir, Ali Hamsa (kanan). FOTO Bernama
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Penyampai Projek (PDP) untuk mengurus dan melaksanakan pembinaan 706 kilometer (Km) Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Perjanjian ini membabitkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP iaitu syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP) yang dilantik sebagai pelaksana projek.

Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Urusan BHP, Shahelmey Yahya.

Turut menyaksikan perjanjian adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pihak PDP akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya dengan kadar kos berpatutan pada tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh kerajaan iaitu siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2021.

Sepanjang tempoh pelaksanaan projek lebuhraya ini, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang sudah dipersetujui.

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini membabitkan jajaran Papar-Donggongon sepanjang 11.7 Km iaitu sebahagian daripada 706 Km jajaran Pan Borneo Sabah Fasa satu yang kebanyakannya akan dinaiktaraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian R5.

Ia dijangka akan dilancarkan pada penghujung bulan April 2016.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan mengubah lanskap infrastruktur dan menghubung bandar utama di Sabah dengan lebih cekap, selesa dan selamat untuk 3.74 juta penduduk di negeri itu.

Dengan termeterainya perjanjian Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini, ia membuktikan komitmen ‘Aku Janji’ Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 4:46 PM