Kota Kinabalu: Dalam tempoh kira-kira empat tahun lagi, rakyat Sabah bakal menikmati jaringan lebuh raya pertama di negeri ini menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang turut disambung kan dengan jaringan lebuh raya sama di Sarawak.

Bukan setakat menikmati jalan perhubungan selesa dan lancar, rakyat Sabah bakal merasai lebih banyak perubahan dan pembangunan dalam aspek infrastruktur dan ekonomi dengan siapnya kemudahan itu.

“Inilah sejarah yang pertama kali kita lihat apabila Kerajaan Pusat benar-benar merealisasikan pembinaan sebuah lebuh raya di Sabah dan Sarawak. Kalau sebelum ini kita hanya melihat lebuh raya di Semenanjung, kini kita juga tidak ketinggalan.

“Malah lebih membanggakan, lebuh raya membabitkan dua negeri ini adalah terpanjang di Malaysia dan ia projek besar yang pasti membawa banyak perubahan kepada Sabah,” kata Ketua Anak Negeri Kota Kinabalu, Biniau Mabon.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu yang jajarannya turut merentasi kawasan pinggir bandar raya ini bermula dari Inanam hingga ke Sepanggar juga dapat menyuraikan aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Jajaran itu dipanggil Jalan Lingkaran Luar Kota Kinabalu (KKORR) iaitu laluan baharu yang bermula dari Putatan ke Penampang dan Inanam, seterusnya ke Sepanggar dan berakhir di Bulatan Berungis, Tuaran dengan jarak kira-kira 40 kilometer.

“Bagi kawasan pinggir bandar raya ini, laluan bermula dari Kampung Pomotodon, Inanam hingga ke Keliangau, Manggatal sebelum ke Sepanggar dengan turut membabitkan pembinaan persimpangan bertingkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Secara keseluruhan, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula di sempadan Sarawak di Sindumin, Sipitang di selatan pantai barat hingga ke Tawau di pantai timur dengan jarak sepanjang 706 kilometer bagi projek fasa satu.

Ia membabitkan 35 pakej pembinaan, antaranya sepanjang Sindumin-Kampung Melalia, Sipitang; Papar-Dongongon; Pakej Satu Tawau-Semporna; Lahad Datu Bypass; Kampung Lot M-Batu 32, Sandakan dan Putatan-Inanam yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Penduduk Bongawan, Papar, Sapri Nasar, 47, berkata lebuh raya itu yang dilengkapi empat lorong dua hala iaitu dengan dua lorong setiap hala membolehkan kenderaan bergerak tanpa banyak halangan berbanding laluan dua lorong dua hala atau selorong sehala ketika ini.

“Dengan jumlah kenderaan semakin banyak ketika ini menyebabkan laluan sedia ada terpaksa menampung jumlah trafik yang tinggi lebih-lebih lagi pada musim perayaan dan ia sering menyebabkan kesesakan terutama di kawasan persimpangan.

“Masalah ini dapat diselesaikan apabila siapnya lebuh raya itu nanti kerana setiap hala dilengkapi dua lorong yang luas,” katanya.

Sehingga awal April tahun ini, tujuh daripada 35 pakej pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah giat dilaksanakan membabitkan jarak sepanjang kira-kira 100 kilometer dengan kos lebih RM2 bilion.

Tujuh pakej itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara April 2016 hingga Disember tahun lalu ialah di Sipitang, Papar, Putatan, Inanam, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Pengarah Urusan Borneo Highway PDP Sdn Bhd (BHP), Ir Shahelmy Yahya, berkata sehingga akhir Mac lalu, lima daripada pakej itu dalam peringkat kerja tanah untuk membina jajaran jalan raya dan jambatan, manakala dua lagi dalam peringkat memasuki tapak.

Katanya, penyerahan baki pakej projek itu kepada kontraktor dijangka selesai akhir Jun ini dengan 10 daripadanya membabitkan jajaran di kawasan pantai barat manakala 18 pakej lagi di kawasan tengah dan pantai timur Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 8:52 AM