CHONG Wei mencium anaknya  Kingston Lee   selepas berjaya juarai Terbuka Malaysia.
CHONG Wei mencium anaknya Kingston Lee selepas berjaya juarai Terbuka Malaysia.
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Terlalu mudah buat Datuk Lee Chong Wei untuk merampas kembali kejuaraan Terbuka Malaysia apabila menundukkan juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia Chen Long pada perlawanan akhir semalam.

Chen Long tidak berada pada kelas terbaik dan mudah memberi ruang kepada Chong Wei untuk merangkul gelaran kali ke-11 dengan menang straight set 21-13, 21-8 di Stadium Malawati.

Chong Wei yang juga pilihan kedua kejohanan, tidak menyangka mampu mencatat kemenangan mudah dan berjaya meninggalkan jurang jauh ketika di set kedua.

“Saya mahu berterima kasih kepada penonton, selepas menang set pertama saya mula mendapat keyakinan dan di set kedua saya seperti tidak berasa penat apabila mendengar sokongan padu peminat,” katanya kepada wartawan semalam.

Jelasnya, lawannya itu bukan tidak memberikan persembahan terbaik cuma dia tidak menyangka terlalu mudah untuk merangkul gelaran kali ke-11 kerana tahun lalu gagal beraksi selepas digantung berikutan doping.

“Mungkin disebabkan tahun lalu saya tidak menang gelaran ini membuatkan saya bersemangat untuk kembali memberi aksi terbaik selepas dua kejohanan terdahulu (Seluruh England dan Terbuka India) saya gagal memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Pemain nombor empat dunia itu juga mengakui akan mempertahankan gelaran, seterusnya beraksi buat kali terakhir di Terbuka Malaysia tahun depan, sebelum membantu kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2017.

Sementara itu, Chen Long memberi alasan dia tidak kecewa gelarannya dirampas Chong Wei, kerana baginya tiada apa yang perlu dirisaukan dan mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia sudah cukup bagus.

“Kalah atau menang bukan masalah besar buat saya. Saya gembira dapat mara ke final dan bukan mudah untuk menumpaskan Chong Wei,” kata Chen Long yang memberi alasan dia gagal menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang serta kali pertama beraksi di gelanggang utama.

Kejuaraan yang diraih Chong Wei itu membolehkannya menyamai rekod pertemuan 12-12 menentang Chen Long.

Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$41,250 (RM161,000), manakala Chen Long pula meraih AS$20,900 (RM81,000).

Hadiah kemenangan disampaikan isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datin Seri Rosmah Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:54 AM