Shah Alam: Gembira, sedih dan puas. Gambaran itu diberikan pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia selepas menumpaskan pilihan utama dari China Zhang Nan-Zhao Yunlei.

Peng Soon-Liu Ying yang muncul juara Terbuka New Zealand minggu lalu, bangkit daripada kekalahan set pertama dengan kemenangan 24-26, 21-15, 21-13 dalam tempoh 69 minit.

Menurut Peng Soon, dia tidak menyangka mampu bangkit semula memenangi set kedua dan penentuan selepas ketinggalan awal permainan.

“Kami terpaksa berdepan tugas sukar tapi saya sangat gembira dapat memberi tentangan dan memenangi perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Malawati semalam.

Sementara itu, Liu Ying berasa puas kerana akhirnya menumpaskan pasangan China itu selepas sembilan kali berturut-turut gagal mencatat sebarang kemenangan termasuk kegagalan mencuri walau satu set daripada mereka.

“Memang saya teruja dengan kemenangan ini. Mungkin sebab kami sudah banyak kali bertemu dan sedikit sebanyak mengetahui permainan cara mereka, membolehkan kami mengawal permainan,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Dalam pada itu, Peng Soon berasa sedikit sedih kerana terpaksa berusaha sembilan kali sebelum akhirnya menang.

Justeru katanya, kemenangan itu akan menjadi batu loncatan untuk beraksi lebih baik seterusnya kembali berada di kelompok tiga terbaik dunia seperti 2013.

Ini kali kedua mereka berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia. Kali pertama pada 2013 sebelum tumpas kepada pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen 13-21, 18-21.

Hari ini dalam perlawanan akhir mereka akan berdepan pilihan kedua dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir yang sebelum itu menumpaskan Fischer Nielsen-Christinna 21-18, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:02 AM