PENG Soon dan Liu Ying sedia berdepan pasangan nombor satu dunia itu pada aksi suku akhir Terbuka Indonesia. -Foto fail
PENG Soon dan Liu Ying sedia berdepan pasangan nombor satu dunia itu pada aksi suku akhir Terbuka Indonesia. -Foto fail
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak gentar apabila berdepan pasangan nombor satu dunia, Wang Yilyu-Huang Dongping pada aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, esok.

Terdahulu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 berkenaan mara ke ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan pasangan Denmark, Nichlas Nohr-Sara Thygesen 21-15, 21-17 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Yilyu-Dongping yang juga juara Asia pula menang ke atas beregu Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Alexandra Boje 21-16, 21-18 dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Bagi Liu Ying, ini adalah satu peluang untuk mereka menguji kemampuan terutama dalam persiapan menghadapi kejohanan lebih utama termasuk Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, bulan depan.

“Kami bermain dengan baik dan apa yang kami rancang semuanya menjadi hari ini. Kami pernah bertemu beregu Denmark itu sebelum ini, jadi kami banyak melakukan analisis menerusi rakaman video mengenai permainan mereka.

“Kami akan terus kekal fokus bagi menghadapi perlawanan suku akhir. Memang bukan mudah kerana bertemu beregu nombor satu dunia tetapi kami mahu bermain tanpa tekanan dan buat persiapan yang terbaik,” kata Liu Ying ketika dihubungi.

Sementara itu, Peng Soon pula, berkata kegagalan di pusingan pertama Terbuka Malaysia, minggu lalu memberi pengajaran berguna buat mereka dan menjadikan Terbuka Indonesia sebagai medan menebus kekecewaan.

“Kami tidak bermain dengan baik di Terbuka Malaysia, biarpun kami tewas tetapi kami tidak mahu berputus asa. Sebaliknya, kami tekad untuk terus membuktikan kemampuan kami dan Terbuka Indonesia adalah peluang untuk kami.

“Untuk esok kami janji beri yang terbaik. Kami buat persiapan terbaik untuk menentang pasangan China itu,” katanya.

Dalam saingan beregu lelaki, wakil tunggal negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin gagal mencipta kejutan ke atas pasangan tuan rumah yang juga beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo apabila tewas 18-21, 12-21.

Beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut menerima nasib sama apabila tewas kepada pilihan pertama dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan 20-22, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 6:49 PM