Nazdy Harun


Kuala Nerus: Cacat penglihatan tidak menghalang insan istimewa ini untuk menuntut ilmu duniawi mahupun uhrawi walaupun dalam keadaan diri serba kekurangan.

Salah seorang pelajar kelas al-Quran kelolaan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Nurul Syahida Zainun Abidin, 24, berkata kekurangan bukan halangan untuk menempa kejayaan dalam pelbagai cabang ilmu.

Menceritakan kisah hidupnya, Syahida berkata, dia mula hilang penglihatan sejak berusia sembilan tahun akibat masalah saraf pada pancainderanya itu.

Menurutnya, sebelum menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM), dia sudah mengikuti kelas al-Quran di Pertis dan terpaksa meninggalkan seketika kelas pengajian itu.

Katanya, dia kini kembali untuk menyambung kelas al-Quran terutama bagi membetulkan tajwid.

"Saya pernah melihat dunia, namun hanya dalam waktu singkat sebelum semuanya sudah tidak dapat dilihat akibat penyakit saraf mata yang dialami," kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Pelajar paling senior di Pertis, Ramlah Hashim, 74, dari Taman Rahmat, Marang berkata, dia mengikuti kelas al-Quran di situ sejak 12 tahun lalu.

"Sebelum ini saya membaca al-Quran braille, namun beralih kepada hafazan yang mana saya lebih banyak menggunakan pendengaran audio di radio.

Nurul Syahida sedang membaca al-Quran braille. FOTO NAZDY HARUN
Nurul Syahida sedang membaca al-Quran braille. FOTO NAZDY HARUN

"Usia bukan halangan bagi seseorang untuk menuntut ilmu apatah lagi yang bergelar orang kurang upaya (OKU)," kata ibu kepada empat anak berusia 31 hingga 39 tahun itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertis Mohd Fauzi Mansor berkata, seramai 68 pelajar berusia 16 hingga 74 tahun sedang mengikuti kelas al-Quran di situ.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) untuk membuka kelas al-Quran di Paka, Dungun dan Besut khas kepada OKU cacat penglihatan.

"Kita memberi tunjuk ajar dan kepakaran yang ada serta sokongan penuh kepada YIT dalam membantu mewujudkan kemudahan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 5:41 PM