VIDAL jaring gol tunggal Bayern selepas 109 saat sepak mula.
VIDAL jaring gol tunggal Bayern selepas 109 saat sepak mula.
AFP

Munich: Arturo Vidal membantu Bayern Munich menang tipis 1-0 ke atas Benfica pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi semalam apabila menjaringkan gol kemenangan hanya selepas 109 saat.

Bayern gagal mempamerkan aksi mengagumkan di Arena Allianz dan penampilan kelima berturut-turut pada separuh akhir Liga Juara-Juara belum terjamin.

“Pertahanan Benfica terlalu kental dan kami terlepas gol kedua,” ujar penjaga gol Bayern Manuel Neuer.

“Tapi di sebalik semua itu, kami tetap gembira dengan keputusan ini kerana kami tidak melepaskan sebarang gol. Itu perkara paling penting.”

Benfica kendalian Rui Vitoria boleh mengharapkan sesuatu menjelang suku akhir kedua di Stadium da Luz pada 13 April ini selepas berjaya mengekang Bayern dengan persembahan mantap pada babak kedua di Munich.

Bagaimanapun, pendahulu liga Portugal itu akan tampil tanpa penjaring terbanyak Jonas selepas pemain berusia 32 tahun itu meraih kad kuning pada babak kedua, kad ketiganya pada pertandingan itu.

Sebelum perlawanan, jurulatih Bayern Pep Guardiola menganggap Benfica memiliki “mungkin empat pertahanan terbaik” di Eropah, selepas hanya dibolosi 19 gol dalam liga Portugal musim ini.

Namun kurang daripada dua minit Bayern berjaya memecah benteng Benfica.

Franck Ribery melakukan hantaran silang dari sebelah kiri dan Juan Bernat, yang tidak dikawal pertahanan Benfica, mengumpan kepada Vidal yang mudah menewaskan Ederson. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:29 AM