Protes penduduk Iceland di Reykjavik membantah skandal kewangan Perdana Menteri mereka, Sigmundur David Gunnlaugsson (gambar kanan). - Foto REUTERS/AFP
Protes penduduk Iceland di Reykjavik membantah skandal kewangan Perdana Menteri mereka, Sigmundur David Gunnlaugsson (gambar kanan). - Foto REUTERS/AFP
AFP

Reykjavik, Iceland: Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson, menjadi orang pertama meletak jawatannya berikutan skandal kewangan akaun bank pesisir digelar ‘Dokumen Panama’ membabitkan 140 tokoh politik yang dibocorkan kepada media.

Sebanyak 11.5 juta dokumen mengenai aktiviti kewangan bank pesisir tokoh terbabit, termasuk Perdana Menteri Iceland, dibocorkan dalam skandal itu.

Timbalan Pengerusi Parti Progressif Iceland, Sigurdur Ingi Johannsson, berkata: “Perdana Menteri memberitahu ketika mesyuarat parlimen beliau meletak jawatan dan saya akan memangku jawatannya.”

Tokoh politik serta selebriti lain yang disebut dalam dokumen milik sebuah firma guaman Panama itu menafikan tuduhan terhadap mereka, termasuk orang kanan Presiden Russia Vladimir Putin, keluarga Presiden China Xi Jinping, Presiden baru FIFA Gianni Infantino serta bintang bola sepak Argentina Lionel Messi.

Perdana Menteri Iceland itu menghadapi tekanan sejak dokumen berkenaan muncul mendakwa beliau dan isteri melabur jutaan ringgit dalam syarikat pesisir yang memiliki saham tiga bank negara itu yang muflis pada 2008, sekali gus meruntuhkan ekonomi Iceland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:43 PM