Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Malaysia bukan antara negara mempunyai kelemahan kewangan sehingga perlu diurus oleh syarikat penyedia perkhidmatan luar pesisir yang terbabit kebocoran fail sulit didedahkan Kertas Pandora, semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor kewangan di Malaysia dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kawal selia itu melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759).

"Manakala aktiviti kewangan luar pesisir dikawal selia oleh Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) melalui penguatkuasaan Akta perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan 2010 (Akta 704) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Sekuriti Islam Labuan 2010 (Akta 705)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, mengusulkan supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora, yang membabitkan fail kewangan sulit.

Ia susulan dokumen kewangan yang dibocorkan secara besar-besaran diterbitkan beberapa organisasi berita utama.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat. FOTO Parlimen Malaysia
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat. FOTO Parlimen Malaysia

Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), sebuah rangkaian wartawan dan organisasi media yang berpusat di Washington, mengatakan bahawa fail berkenaan dihubungkan dengan kira-kira 35 pemimpin negara kini dan dahulu, dan lebih 330 ahli politik serta pegawai awam di 91 negara dan wilayah.

Pendedahan itu membabitkan lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Tengku Zafrul menjelaskan lagi, mana-mana individu boleh membuka akaun dengan mana-mana bank berlesen termasuk akaun luar pesisir.

Bagaimanapun, katanya, semua pelanggan yang membuka akaun di bank berlesen di kawal selia BNM atau akaun bank luar pesisir yang dikawal selia oleh Labuan FSA.

Menurutnya, kesemua pembukaan akaun itu mesti lulus proses usaha wajar pelanggan seperti disyaratkan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 11:59 AM