ANGGOTA tentera memeriksa lokasi serangan bom di Yaring.
ANGGOTA tentera memeriksa lokasi serangan bom di Yaring.

Pattani: Seorang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila beberapa butir bom meletup dalam keganasan terbaru di selatan Thai semalam.

Kejadian berlaku di daerah Yaring di wilayah Pattani, satu daripada tiga wilayah majoriti penduduk Islam di negara itu.

Antara sasaran ialah dua mesin pengeluar wang automatik (ATM).

Jurucakap tentera berkata, kira-kira 10 bom diletupkan dalam serangan yang menyebabkan seorang orang awam terbunuh dan mencederakan 11 anggota polis.

Orang awam terbabit mati selepas terperangkap dalam letupan berhampiran sebuah kedai gunting rambut.

“Mereka yang terbabit dalam serangan itu mahu menunjukkan mereka masih aktif,” kata timbalan jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Yuthanam Phetmuang.

Belum ada pihak mengaku bertanggung jawab. Bagaimanapun, pihak berkuasa percaya ia dilakukan kumpulan pemisah.

Tentangan terhadap pemerintahan kerajaan pusat di Bangkok wujud sejak puluhan tahun lalu dan memuncak pada 2004.

Lebih 6,500 orang terbunuh sejak itu.

Keganasan semalam menyusuli serangan bersenjata dan bom di Narathiwat, beberapa minggu lalu.

Penduduk selatan Thai yang beragama Islam dan keturunan Melayu mengadu sudah sekian lama ditindas kerajaan yang dikuasai penganut Buddha. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 7:46 AM