ANGGOTA polis menyiasat lokasi serangan bom di daerah Yaring di Pattani, semalam.
ANGGOTA polis menyiasat lokasi serangan bom di daerah Yaring di Pattani, semalam.

Pattani: Seorang anggota renjer sukarela parah dan tiga lagi cedera selepas sebutir bom yang ditanam di bawah sebuah rumah dalam pembinaan di daerah Yaring meletup pagi semalam.

Jurucakap polis, Kosit Benjakul berkata, kejadian berlaku jam 10 pagi (waktu tempatan) ketika anggota renjer berkenaan berehat di rumah itu selepas mengiringi sekumpulan guru ke sekolah.

Katanya, secara tiba-tiba sebutir bom yang diletakkan di bawah rumah berkenaan meletup.

“Letupan itu menyebabkan empat anggota renjer cedera dan seorang daripada mereka parah di bahagian kaki.

“Semua anggota renjer berkenaan dihantar ke hospital di Pattani dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, sebahagian besar rumah berkenaan yang masih dalam pembinaan juga rosak teruk.

“Bom itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh dan kami menyiasat motif serta dalang serangan,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:52 AM