MESSI (tengah) pimpin Barca bertemu Valencia.
MESSI (tengah) pimpin Barca bertemu Valencia.
AFP

Madrid: Berbekalkan inspirasi Lionel Messi, Barcelona bangkit membalas semua kritikan apabila membelasah Sevilla dan APOEL Nicosia sepanjang minggu ini dan bintang Argentina itu menghasilkan dua hatrik bagi membolehkan namanya dipahat selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam saingan La Liga serta Liga Juara-Juara.

Anak buah Luis Enrique itu dijangka berdepan lawan lebih sengit esok apabila bertandang ke Valencia untuk bertemu pasukan yang tidak pernah tewas di tempat sendiri setakat ini.

Hatrik Messi di Nicosia menutup jaringan pertama Luis Suarez buat Barcelona ketika menang 4-0 dan gergasi Sepanyol itu mengekori rapat Paris Saint-Germain untuk menduduki persada Kumpulan F.

Enrique gembira dengan persembahan pasukannya di Nicosia dan mendakwa itulah aksi yang paling ditunggu-tunggu semua peminat.

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu turut berpeluang untuk menyenaraikan semula Claudio Bravo, Sergio Busquets dan Neymar ke dalam barisan utamanya selepas mereka direhatkan semata-mata untuk aksi di Mestalla.

Impian Valencia menjulang gelaran La Liga musim ini sedikit terjejas apabila dikalahkan Levante 2-1 minggu lalu selain seri tanpa jaringan ketika menentang Athletic Bilbao.

Alvaro Negredo sudah kembali cergas untuk mewakili kelabnya pada pertemuan menentang Barca. Bekas pemain Manchester City itu dilihat agak berkarat kerana tidak beraksi sepenuh masa sejak Mac tetapi dia percaya Barca mampu ditundukkan.

“Barcelona pasti yakin kerana mereka menang besar minggu lalu tapi kami bermain di tempat sendiri dan kami perlukan tiga mata,” katanya.

“Kami tahu perlawanan itu pasti sukar walaupun Barca mungkin tidak beraksi dalam keadaan terbaik. Mereka tidak akan memberikan ruang buat kami tapi sepanjang musim ini, aksi kami di tempat sendiri jarang mengecewakan. Kami selesa bermain di tempat sendiri dan saya harap mampu mendapatkan tiga mata yang kami mahukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:02 AM