Madrid: Valencia merampas kembali tangga keempat La Liga daripada Sevilla apabila Sofiane Feghouli menyumbat gol mengagumkan ketika menang 4-0 ke atas pasukan kedua tercorot Granada, awal pagi semalam.

Kemenangan 2-0 Sevilla di laman sendiri ke atas Rayo Vallecano, Ahad lalu membolehkan mereka unggul dalam persaingan merebut tempat keempat kelayakan Liga Juara-Juara.

Valencia yang terlepas tempat ke pertandingan utama benua itu musim lalu, membenam Granada yang jelas bakal terjerumus ke liga bawahan dengan Javi Fuego, Dani Parejo dan pemain gantian Alvaro Negredo turut menjaringkan gol di Mestalla.

Penyerang Algeria, Feghouli menamatkan penyudah menakjubkan bagi gol ketiga Valencia, melencongkan bola ke penjuru gol selepas menyambut bola muntah hasil rembatan kencang Negredo di penjuru kiri kotak penalti.

Valencia meraih 68 mata dengan baki lima perlawanan, dua mata di depan Sevilla dan empat di belakang pasukan tangga ketiga Atletico Madrid, yang menang 3-0 ke atas Elche di laman sendiri, Sabtu lalu.

Barcelona mendahului dengan 81 mata manakala musuh utama, Real Madrid dua mata di belakang.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:29 AM