Melaka: Logo minuman keras tidak lagi dibenarkan menghiasi papan iklan dan sengkuap pada premis dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) khususnya di badar raya ini bermula September lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata pemilik premis akan diberi tempoh enam bulan daripada tarikh tamat tempoh lesen perniagaan dan iklan mereka tahun ini untuk menukar papan iklan yang mematuhi peraturan itu.

“Sekurang-kurangnya 14,400 premis akan terbabit dalam peraturan ini dan kita jangkakan pada awal 2016, tiada lagi premis dalam kawasan pentadbiran MBMB khususnya Bandaraya Melaka menggunakan logo minuman keras pada papan ikan dan ‘retractable awning’ mereka.

“Jika pemilik premis gagal berbuat demikian selepas diberi tiga notis, mereka akan dikompaun RM250 mengikut Undang-undang Kecil Iklan MPMT 1983 dan papan tanda mereka akan diturunkan,” katanya ketika meninjau penggunaan papan iklan gegantung di Jalan Ong Kim Wee, di sini.

Sementara itu, Zainal berkata, MBMB akan memastikan papan iklan yang dipasang di kawasan pentadbirannya khususnya Bandaraya Melaka adalah mesra pelancong.

“Kita tidak mahu papan iklan itu mengelirukan pelancong. Kita mahu membantu pelancong mengenal pasti premis serta tempat dituju dengan mudah dan pantas,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 9:48 PM