GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Mamat


MAJLIS Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuka pendaftaran secara dalam talian sejak minggu lalu melalui E-Bazar Ramadan MBMB bagi peniaga dan penghantar makanan ingin menjalankan perniagaan serta menghantar makanan sepanjang bulan puasa nanti.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, setiap peniaga dibenarkan mendaftar dua penghantar makanan bagi memudahkan urusan perniagaan mereka.

Beliau berkata, pendaftaran itu ringkas dan percuma dengan hanya melayari pautan http://msdesk.mbmb.gov.my/event/daftar.cfm.

“Kelulusan pendaftaran bagi peniaga dan penghantar makanan tertakluk kepada kelulusan saringan Covid-19 serta syarat lain ditetapkan MBMB.

“MBMB mengambil pendekatan ini berikutan kerajaan memutuskan tiada lagi penganjuran pasar dan bazar Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

”MBMB mahu membantu peniaga menjana pendapatan di samping memberi kemudahan kepada warga bandar raya untuk mendapatkan juadah berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan di Ayer Keroh, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri menetapkan semua perniagaan pasar dan bazar Ramadan di Melaka tahun ini dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata, langkah terbabit sebagai usaha membantu peniaga meneruskan perniagaan khususnya ketika pelaksanaan PKP ketika ini.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, pelanggan tidak dibenarkan untuk mengambil pesanan di premis perniagaan kerana konsepnya perniagaan hanya dibuat secara dalam talian.

Katanya, penghantaran tempahan dibenarkan bermula 4 petang sehingga 7 malam sepanjang Ramadan ini atau dalam tempoh PKP.

“Pembeli dikehendaki membuat transaksi bayaran secara dalam talian sahaja melalui aplikasi pembayaran sedia ada di pasaran.

“MBMB berharap inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19. Justeru, seluruh warga bandar raya ini diharap dapat terus menjadi warga yang patuh dengan arahan PKP, sekali gus membolehkan rantaian wabak ini dapat dicegah dan dihentikan dalam kadar segera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:44 PM