PARK
PARK

Seoul: Seorang wartawan Jepun semalam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memfitnah presiden Korea Selatan apabila menyebarkan khabar angin ahli politik terbabit ‘hilang’ selama tujuh jam ketika tragedi nahas feri, April lalu, kerana menghabiskan masa dengan seorang lelaki.

Tuduhan terhadap Tatsuya Kato dari Sankei Shimbun Jepun menimbulkan tanda tanya mengenai kebebasan akhbar Korea Selatan.

Jurucakap mahkamah, Kim Dae-hyun berkata, peguam bela Kato - yang tidak ditahan tetapi dilarang meninggalkan Korea Selatan - memberitahu mahkamah artikel itu disiarkan demi kepentingan awam.

Agensi berita Kyodo Jepun pula memetik Kato berkata, artikel berkenaan disiarkan untuk memaklumkan pandangan penduduk Korea Selatan terhadap Park Geun-hye.

Kes berkenaan mencetuskan perdebatan berhubung kebebasan bersuara di Korea Selatan apabila tuduhan memfitnah presiden jarang digunakan.

Jika didapati bersalah Kato berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda 50 juta won (RM152,000).

Pengkritik menuduh kerajaan konservatif pimpinan Park mengetatkan kawalan terhadap wartawan dalam usaha menjaga imejnya.

Pada masa sama, hubungan antara Jepun dan Korea juga dalam keadaan yang kurang baik disebabkan perbalahan mengenai sebuah pulau kecil selain konflik berhubung sejarah zaman peperangan.

Kato didakwa kerana artikel disiarkan pada 3 Ogos lalu mengenai Park berkenaan pada hari feri Sewol karam mengakibatkan kematian lebih 300 penumpang, kebanyakannya remaja.

Artikel itu mengulangi khabar angin disiarkan media Korea Selatan dan industri kewangan bahawa Park mempunyai hubungan sulit dengan bekas pembantunya yang sudah berkahwin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:05 AM